Categories
BERITA UTAMA

Najib Oh Najib, Dulu Haramjadah, Sekarang Bangang Pula!!

Dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO semalam, meskipun Presiden UMNO, Najib Razak menyentuh banyak perkara seperti usaha menguatkan parti, rasuah, undi Cina, solidariti, serangannya kepada pembangkang dan banyak lagi, tetapi satu-satunya perkara yang terus menjadi bualan ramai ialah “bahasa kasar” yang diluahkannya kepada blogger pro UMNO.

Dalam meluahkan rasa kurang senangnya dengan sesetengah blogger pro UMNO yang dibayar dan dibiayai tetapi akhirnya menembak pemimpin sendiri, Najib menyifatkan mereka itu sebagai “bangang”.

najib wanita umno“Blogger ini cari makan dengan siapa? Pergilah tembak pembangkang. Itu cara kita nak menang dalam peperangan. Jangan perang sesama sendiri, tak masuk akal. Bangang,” katanya dalam ucapan penggulungan itu.

Dalam perbualan atau sebutan seharian, “bangang” lebih kurang membawa maksud bodoh, tolol, dungu atau lain-lain seumpamanya yang berupa suatu bentuk penghinaan kepada seseorang atau kumpulan.

Tindakan Najib terhadap blogger ini dipercayai bukan saja kerana tidak berpuas hati dengan hasil kerja mereka, bahkan juga disebabkan sering bertelagah sesama sendiri. Kadangkala pula, blogger UMNO ini mempunyai pemimpin pujaan mereka sendiri sehingga keutamaan menonjolkan pemimpin lebih utama daripada parti.

Apabila masing-masing sudah mempunyai “godfather” yang berbeza, maka kecendungan menembak pemimpin lain yang dianggap sebagai saingan kepada pemimpin pujaan itu sudah pasti tidak dapat dielakkan.

Sehubungan itu, dalam maksud tersiratnya ialah Najib mahukan mereka ini mengutamakan UMNO yang membayar dan membiayai mereka serta lebih menumpukan serangan kepada pembangkang saja daripada menembak sesama pemimpin.

Memang sejak internet dan media sosial berkembang pesat, UMNO dipercayai telah membelanjakan jutaan ringgit untuk membayar dan membiayai blogger ini, terutama ketika berlangsungnya pilihanraya kecil atau semasa kempen pilihanraya umum dengan tujuan untuk meraih undi golongan muda khususnya.

Meskipun demikian, bahasa yang diungkapkan oleh Najib ternyata tidak sesuai dan agar kasar, apatah lagi diucapkan dalam Perhimpunan Agung UMNO yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara. Blogger yang terasa pedas dengan ucapan Najib itu sudah tentu berasa hati, tersinggung dan mungkin mulai rasa marah.

Dalam masa yang sama, ini tentunya akan merendahkan lagi penilaian rakyat terhadap budi bahasa dan perwatakan sebenar Najib sebagai pemimpin utama negara.

Tidak pernah mana-mana Perdana Menteri sebelum ini mengucapkan perkataan sekasar itu secara terbuka, walau dalam keadaan marah sekali pun.

Tambahan lagi, sebelum ini ketika meluahkan rasa kecewanya dengan peneroka Felda yang menyokong pembangkang tetapi dalam masa yang sama menerima semua pemberian agensi itu, Najib juga menggelar mereka sebagai “haramjadah”.

Ini bermakna sekurang-kurangnya sudah lebih daripada sekali Najib bertindak secara tidak wajar dan keterlaluan terhadap mereka yang tidak disukainya.

Agaknya selepas ini apa pula bahasa kasarnya dan siapa lagi menjadi mangsanya?

Serangan terbuka kepada blogger ini nyata menimbulkan rasa kurang ramai banyak pihak di media sosial. Ada yang marah dan kecewa kerana selepas jurucakap UMNO luar negara, Nur Farhana Mohd Anuar mempertikai blogger pro UMNO yang didakwa lambat bertindak dalam mempertahankan Rosmah Mansor daripada serangan pembangkang, kini Najib pula berbuat demikian.

Adakah Najib juga sebenarnya kecewa dengan peranan blogger berbayar ini dalam mempertahankan isterinya?

Ramai juga yang berkata, blogger bertindak “bangang” kerana ada pemimpin UMNO sendiri yang terlebih dahulu bersikap “bangang” dalam menjalankan tugasnya. Sementara itu, ada pula yang rela dianggap “bangang” asalkan tanggungjawab mereka menegur dan membetulkan sikap sesetengah pemimpin UMNO sudah dilaksanakan.

Yang pastinya, ramai yang bengang dalam sehari dua ini.

Dipetik: Blog Shahbudin Husin

Leave a Reply

Your email address will not be published.