Categories
NASIONAL

Pakatan lebih banyak perjuangkan golongan muda berbanding BN

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 4 NOV : Kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bahawa hanya Barisan Nasional (BN) yang memperjuangkan nasib golongan muda disangkal keras pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat, berkata baik pihaknya mahupun anggota pemuda dalam PR sentiasa bergerak seiring dalam masyarakat melalui pelbagai agenda dan program yang diwujudkan.

PAKATAN RAKYATMengambil contoh di dalam PAS, beliau berkata parti Islam itu memiliki beberapa pertubuhan antaranya Jabatan Unit Amal untuk memberi khidmat kepada masyarakat semasa bencana selain mewujudkan rangkaian perniagaan dan khidmat guaman sebagai agensi kepada Pakatan.

“Kami Pemuda PR juga terlibat dalam program kesukanan dan kebudayaan selain turun bersama anak muda hampir setiap hari untuk mendampingi mereka.

“Sekarang kita sedang mengembangkan generasi anak muda dengan menyediakan platform untuk anak muda, mewujudkan rangkaian perniagaan dan khidmat guaman yang menjadi agensi untuk PR.

“Ini Khairy tak nampak, dia cuma nampak Umno sedangkan kita sudah sediakan pelbagai program untuk masyarakat,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada Perhimpunan Agung Pemuda PPP di Kuala Lumpur Ahad lalu, Khairy mendakwa Pemuda Barisan Nasional (BN) adalah gabungan anak muda yang banyak memperjuangkan isu semasa dan masalah dihadapi golongan muda berbanding Pemuda Pakatan Rakyat.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata pemuda parti komponen BN mengamalkan politik berteraskan nilai dan makna untuk seluruh generasi Malaysia dan bukannya menitikberatkan cita-cita dan agenda tersembunyi seseorang.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai dakwaan BN bahawa pemuda pembangkang tidak memperjuangkan isu perumahan, peningkatan kos hidup dan masalah pinjaman bank yang dihadapi golongan muda, Suhaizan berkata polisi utama itu seharusnya dilakukan oleh BN yang bertindak sebagai kerajaan pemerintah.

Katanya sebagai parti pembangkang, PR hanya boleh mengesyorkan penambahbaikan dan cadangan mengenai pembangunan masyarakat menerusi sidang Dewan Rakyat.

“Perkara ini banyak disebut oleh Ahli Parlimen PR dan disebabkan kita bukan pemerintah, maka kuasa pelaksanaannya agak terhad.

“Tetapi kita berusaha membangkitkan kesedaran rakyat salah satu daripada caranya adalah melalui pengajuran himpunan secara aman,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.