Categories
SELANGOR

Pejabat bergerak MBSA permudahkan urusan pelanggan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 14 NOV: Pejabat Bergerak ‘Shah Alam On Wheel’ (SAOW) akan beroperasi di perkarangan tempat letak kereta Pasar Raya AEON BIG di Seksyen 32 di sini esok (15 Nov).

Timbalan Pengarah Korporat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berharap orang ramai tidak melepaskan peluang untuk melaksanakan urusan mereka.

MBSAKatanya, operasi SAOW akan bermula pada jam 11 pagi dan berakhir pada jam 5 petang.

“Pejabat bergerak ini menyediakan perkhidmatan luar pejabat yang merupakan komitmen dan inisiatif pihak Majlis untuk menambah sistem penyampaian ‘delivery system’.

“Kita akan menyediakan 18 jenis perkhidmatan yang bersesuaian bagi memudahkan warga Shah Alam membuat sebarang rujukan, semakan dan pembayaran yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, SAOW pernah singgah di Pasaraya Giant Seksyen 13, Plaza Shah Alam di Seksyen 9 dan terbaru di hadapan gedung Jakel di Seksyen 7.

Kata Shahrin, SAOW diwujudkan bagi memperkasakan sistem penyampaian agar maklumat terkini berkenaan perkhidmatan MBSA dapat disampaikan dengan berkesan.

“Pengoperasian ini juga merupakan salah satu langkah MBSA untuk memperbanyakkan aktiviti turun padang bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk berurusan secara terus.

“Melalui perkhidmatan ini, pihak Majlis berharap dapat memantapkan lagi sistem
perkhidmatan MBSA untuk manfaat masyarakat,” katanya lagi.

Antara kemudahan perkhidmatan yang disediakan SAOW adalah semakan dan mencetak bil dan penyata cukai taksiran, mengemaskini maklumat pemunya cukai taksiran, pembayaran cukai taksiran secara online, pembaharuan dan semakan lesen perniagaan, membuat aduan, penjualan kupon letak kereta dan sebagainya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.