Categories
SELANGOR

PR: Kekal Akta Hasutan, Najib tiada pendirian & tak layak pimpin negara

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 27 NOV: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, adalah pemimpin tiada mempunyai pendirian tetap dan sering mungkin janji apabila mengekalkan Akta Hasutan yang sebelum ini berikrar mahu memansuhkannya.

ADUN Seri Muda, Shuhaimi Shafiei, berkata perkembangan terbaru itu memperlihatkan Najib sebagai Perdana Menteri tidak mempunyai kekuatan untuk menerajui negara.

Akta Hasutan“Bagaimana rakyat boleh mengharapkan beliau yang memungkiri janji untuk memansuhkan Akta Hasutan. Hanya disebabkan tekanan daripada segelintir pihak berkepentingan.

“Ini adalah gambaran bahawa beliau seorang Perdana Menteri yang lemah,” katanya kepada SelangorKini di sini , hari ini.

Shuhaimi yang pernah didakwa di bawah akta itu berkata, ia memberi gambaran jelas Najib bukan pemimpin yang layak memimpin negara.

“Saya menuntut Najib meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kerana beliau tidak mempunyai kredibiliti,” katanya.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim turut terkejut dengan pengumuman itu dan mempersoalkan pendirian Perdana Menteri yang sebelum ini mahu memansuhkannya.

“Dalam Parlimen, Najib sudah berjanji bahawa akta ini akan dimansuhkan tetapi sekarang beliau mahu mengekalkannya. Di mana janjinya terhadap rakyat?.

“Dari segi prinsip dan moral, ia adalah tidak bermaruah,” katanya.

Beliau berkata, akta tinggalan zaman British itu sudah tidak relevan lagi pada masa ini dan penambahan peruntukan khas bagi melindungi agama Islam juga tidak sesuai kerana hak itu sudah terjamin di dalam perlembagaan.

“BN pasti tidak dihormati rakyat. Semakin lama BN memerintah, kita menuju ke arah konservatif,” katanya.

Adun Hulu Kelang, Saari Sungip, berkata pendekatan itu boleh dianggap sebagai menghalang kewujudan masyarakat majmuk di negara ini.

“Secara mudah akta ini boleh disalah guna, boleh menghalang hak asasi manusia.

“Dalam dunia terbuka masa kini, ia masih diguna bagi menafikan hak untuk berhimpun, bersuara, berbahas dan perkara berkaitan agama, sudah lebih 50 tahun, ia masih dianggap sebagai isu sensitif,” katanya.

Katanya, di Britain contohnya, kebebasan diberi kepada semua tanpa mengira rakyat tempatan mahupun bangsa dari luar kerana ia mementingkan hak bersama ke arah keharmonian dan kemajuan bersama.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.