Categories
SELANGOR

Presiden FAS, MB tunggu selepas EGM 3 Disember

Oleh: HAFIZAN TAIB

SUBANG JAYA, 23 NOV: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menjelaskan masih terlalu awal untuk memberi sebarang reaksi berkenaan pelantikannya sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan perancangan untuk kemajuan bola sepak di Selangor.

“Saya ingat terlalu awal untuk mengambil pendirian terbabit sehingga proses ini selesai pada 3 Disember akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan mengadakan perbincangan bersama exco FAS berhubung segala perancangan dan kaedah sesuai yang akan diguna pakai bagi melonjak kembali semangat serta prestasi bola sepak di Selangor jika perkara itu bernar berlaku.

“Saya kira penting untuk membantu anak muda di Selangor ini supaya terbabit secara langsung dalam bidang sukan yang dapat dilonjakkan daripada perancangan yang lebih strategik dan baik,” katanya.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Eksekutif FAS sebulat suara bersetuju melantik Mohamed Azmin sebagai Presiden FAS yang baru.

Memetik laman web persatuan, pelantikan Mohamed Azmin itu bagaimanapun hanya akan disahkan dalam satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) di Kelab Shah Alam, pada 3 Disember ini.

Hal itu selepas notis 14 hari memanggil wakil kelab gabungan FAS untuk menghadirinya mula dikeluarkan.

Timbalan Presiden FAS, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad yang mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa eksekutif itu berkata, proses peralihan kuasa terbabit dipersetujui Presiden FAS ketika ini, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ditanya adakah Mohamed Azmin bersetuju untuk memegang jawatan berkenaan, Abdul Mokhtar berkata,” Memang dalam Status FAS pun ada menyatakan keutamaan diberikan kepada Menteri Besar untuk dilantik sebagai presiden.

“Ia juga sudah menjadi kelaziman dan secara tradisinya dalam FAS,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.