Categories
SELANGOR

Program KIPK dedah peserta penjagaan terbaik kanak-kanak di rumah

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 17 NOV: Seramai 30 peserta mengambil bahagian dalam Kursus Intensif Perkembangan Kanak-kanak (KIPK) bagi perkongsian ilmu dan pendedahan berhubung perkhidmatan penjagaan kanak-kanak secara terbaik.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata ia juga dapat membantu pengasuh meningkatkan kualiti jagaan dan asuhan terhadap kanak–kanak dijaga di rumah.

KIPKSelain itu, katanya ia dapat membantu pengasuh menjalankan perkhidmatan di rumah mendapatkan lesen pendaftaran sah sekaligus melaksanakan pemutihan taska dan pusat jagaan kanak–kanak yang beroperasi secara tidak sah.

“Kursus ini juga istimewa apabila pengasuh dikumpulkan dan dibekalkan dengan ilmu dan pendedahan yang baik dan berguna supaya dapat diaplikasikan semasa mereka menjalankan tugas.

“Mereka juga berpeluang bertukar-tukar fikiran dan pendapat sesama mereka demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada anak-anak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Kursus Intensif Asuhan dan Penjagaan Awal Kanak-kanak di Intekma Resort Shah Alam, petang semalam.

Daroyah berkata modul latihan disediakan juga banyak menyentuh dasar dan ilmu perkembangan, pemakanan serta kebersihan kanak-kanak termasuk kawalan keselamatan dan pengurusan pentadbiran serta kewangan.

Beliau turut memaklumkan beberapa program Kerajaan Negeri yang boleh memberi manfaat kepada pengasuh, mahupun ibu bapa dan penjaga kepada kanak-kanak yang akan diasuh kelak.

Antaranya program Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas), Skim Bantuan Asuhan Rakyat (SiKembar), Skim Bantuan Tadika Negeri Selangor (Tunas) dan sebagainya.

“Ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap perkembangan dan keperluan kanak-kanak terutama bagi mendapatkan jagaan dan asuhan terbaik yang secara tidak langsung membantu ibu bapa meringankan beban kos sara hidup yang semakin tinggi ini,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.