Categories
SELANGOR

Rakyat gembira, sokong operasi perpustakaan hingga 10 malam

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 6 NOV: Rakyat gembira dan menyokong Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali yang mahu perpustakaan awam di Selangor melanjutkan operasi sehingga jam 10 malam.

Bagi mereka, cadangan itu amat bernas dan bersesuaian untuk direalisasikan kerana bakal memberi lebih manfaat kepada masyarakat untuk menggunakan segala kemudahan apabila perpustakaan dibuka dalam tempoh masa yang panjang.

dr muhammad zain 65 (1)Pesara kerajaan, Dr Muhammad Zain, 65, berkata dalam perkembangan teknologi pesat hari ini dan pelbagai kemudahan moden tersedia, amat wajar cadangan itu dilaksanakan segera.

“Perpustakaan seperti di sini amat selesa dan menyediakan banyak kemudahan untuk pengunjung gunakan bagi memenuhi keperluan mereka. Pelajar terutamanya akan merebut peluang ini sebaik mungkin untuk menimba ilmu dan menyiapkan segala kerja mereka.

“Bagi golongan pekerja dan ibu bapa bersama anak juga boleh datang dengan mudah bila waktu operasi dilanjutkan,” katanya ketika ditemui Selangor Kini di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini, kelmarin.

Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komputer Forensik Universiti Pengurusan dan Sains (MSU), Noor Amira Mohd Dzulkifli, berkata cadangan terbabit amat praktikal dan membolehkan golongan pelajar menggunakan perpustakaan dalam tempoh lebih lama.

noor amira mohd dzulkifli 22“Ia juga akan menjimatkan kos kerana kita perlu menggunakan talian wi-fi untuk menyiapkan kerja dan membuat kajian. Di perpustakaan semua kemudahan itu tersedia.

“Jika tidak, kita mungkin terpaksa pergi ke kedai makan atau restoran untuk tujuan itu. Tentu terpaksa berbelanja dengan makan dan minum,” katanya.

Perkara itu disokong pelajar tahun satu Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Universiti Selangor (UNISEL), V Poshagan, 21, yang merasakan perpustakaan amat penting untuk pengguna tanpa mengira pelajar sekolah, universiti atau golongan pekerja.

V poshagan 21“Perpustakaan hari ini penting untuk digunakan semua golongan masyarakat kerana di sini kita dapat membuat kajian dan menambah ilmu pengetahuan. Tanpa ilmu kita ketinggalan.

“Saya sokong cadangan ini kerana banyak kebaikan diterima rakyat. Saya bersama kawan selalu datang ke sini,” katanya.

Tempoh operasi yang panjang juga akan menanam minat membaca di kalangan masyarakat kerana membolehkan ramai pihak berkunjung ke perpustakaan selepas waktu pejabat dan cuti hujung minggu, begitu pendapat Nor Faharin Zulkifli, 19, pelajar Diploma Elektronik Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

“Kalau waktu perpustakaan ditutup sama dengan waktu pejabat, golongan pekerja menghadapi masalah untuk datang tambahan di Lembah Klang yang sentiasa sesak,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.