Categories
SELANGOR

RM2 juta mantap pendidikan tinggi agama lahir graduan berdaya saing

SHAH ALAM 27 NOV: Kerajaan Negeri komited untuk memantapkan pendidikan tinggi agama bagi menghasilkan graduan anak Selangor yang berdaya saing.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata peruntukan RM2 juta Program Pendidikan Pengajian Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat akan menjadikan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) ke taraf universiti penuh, yang akan memantapkan lagi peluang masa hadapan penuntut KUIS.

grafik-DNS“Tahfiz menjadi pilihan ramai tetapi persoalan yang jadi isu ialah apa seterusnya untuk penuntut kita? Adakah mereka mahu belajar agama atau bidang akademik lain?

“Itulah tujuan adanya program ini untuk membolehkan penuntut ke tahap seterusnya,” jelas Nik Nazmi.

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dr Ahmad Yunus Hairi menjelaskan Kerajaan Negeri turut beri perhatian kepada pelebaran pendidikan aliran integrasi Tahfiz Sains peringkat menengah.

Walaupun setiap tahun pendidikan aliran agama diberi peruntukan RM6 juta setahun, Dr Yunus berkata masih banyak yang perlu dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk memenuhi keperluan pendidikan agama yang berkualiti.

“Dengan keperluan ini, peruntukan yang lebih baik untuk mengoptimumkan perancangan Kerajaan Negeri terutamanya untuk menambah sekolah integrasi Tahfiz Sains.

“Buat sementara ini kita ada tiga sekolah integrasi di Jugra, Klang dan Sabak Bernam. InsyaAllah di tahun hadapan kita buka sekolah di Alam Impian.

“Kita juga merancang untuk membuka sekolah di Sepang dan Bagan Lalang. Dalam sidang sekurang-kurangnya tiga Adun mahu sekolah integrasi di adakan di setiap daerah,” kata Dr Yunus.

Ketika ditemui di luar dewan, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Ng Suee Lim amat mengalu-alukan perhatian kepada pengukuhan pendidikan aliran agama di Selangor.

“Berkembangnya tarbiyah Islam supaya orang Islam lebih beriman dan takwa menghasilkan modal insan yang berkualiti. Ini saya sokong.

“Bahkan saya harap tahun depan peruntukan diperluaskan bukan sahaja untuk aliran agama Islam, tetapi juga aliran Cina, Tamil dan sekolah-sekolah persendirian sekiranya kita mampu,” kata Adun Sekinchan itu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.