Categories
SELANGOR

Selangor optimis isu sampah boleh selesai secara drastik

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan negeri optimis masalah sampah di seluruh Selangor boleh diselesaikan secara drastik walaupun tidak secara menyeluruh, kata Exco Kerajaan Tempatan, Ean Yong Hian Wah (DAP-Seri Kembangan).

Beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil tindakan pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih drastik terhadap kontraktor terlibat bagi memastikan usaha yang dijalankan tidak menemui kegagalan.

Katanya, setakat ini semua PBT sudah melaksanakan pelan tindakan pembersihan sampah dengan baik seperti yang dirancang dan menunjukkan perkembangan positif.

cari sampah a“Kerajaan Negeri juga akan mengambil tindakan ke arah meningkatkan kesedaran dan kefahaman berkenaan amalan pengurusan sampah secara sistematik bermula dari bawah.

“Fokus akan diberikan kepada kediaman dan premis melibatkan pelbagai lapisan masyarakat untuk mendidik serta menerapkan amalan mengitar semula selain memberi pendedahan berkenaan cara pembuangan sampah dengan betul,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS,  hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mulut daripada Khasim Abdul Aziz (PAS-Lembah Jaya) berhubung isu sampah di Selangor.

ean yongSementara itu, beliau berkata, beberapa langkah proaktif sudah dirancang untuk melaksanakan tindakan berkenaan ketika mengulas berkenaan pendekatan Kerajaan Negeri untuk memastikan isu sampah selesai dalam masa tiga bulan.

Beliau berkata, antaranya memastikan semua kontraktor sisa pepejal mematuhi jadual kutipan sampah domestik dan pembersihan awam dengan melakukan pemantauan rutin berterusan berdasarkan jadual di lapangan berdasarkan aduan.

Selain itu, katanya, PBT akan mengeluarkan notis terhadap kegagalan kerja di lapangan oleh kontraktor yang dilantik serta menamatkan perkhidmatan kontraktor yang gagal melaksanakan tugas mereka dengan baik.

“PBT juga melaksanakan kutipan sampah yang lebih sistematik dengan mengenalpasti kawasan bagi cadangan tambahan unit tong sampah serta meningkatkan aktiviti pemantauan untuk memastikan kutipan sampah dijalankan mengikut jadual.

“Selain itu, beberapa kawasan yang menjadi tumpuan longgokan sampah seperti di bahu jalan dan kawasan lapang turut dikenalpasti serta tindakan juga diambil ke atas pembuangan sampah haram,” katanya.

Pada masa sama, Hian Wah turut mengalu-alukan semua pihak untuk memberi pandangan dan maklum balas berhubung kutipan sampah di kawasan mereka serta segera melaporkan jika berlaku sebarang masalah.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.