Categories
SELANGOR

Suee Lim terus dedah salah guna kuasa pemimpin Umno-BN

Oleh : AFEERA AFEERA

SHAH ALAM 13 NOV: ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim bertekad terus mendedahkan salah laku dan salah guna kuasa di kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN) berhubung pelbagai isu.

Beliau berkata, ia bagi memastikan rakyat tahu berkenaan kepincangan yang berlaku di kalangan ahli politik terutama daripada BN.

“Saya akan terus pantau dan dedahkan kepincangan Umno serta komited sebarkan salah laku atau salah guna kuasa yang timbul di kalangan mereka,” katanya kepada Selangor Kini.

Mengulas berkenaan penarikan semula saman fitnah Dr Mohamad Khir Toyo ke atasnya, Suee Lim menganggap ia kemenangan moral penting.

Katanya, hal itu sekali gus membuktikan apa yang didedahkan beliau adalah berasas, jelas serta bersuluh dan bukan sekadar fitnah.

“Rakyat berhak tahu bagaimana beliau dapat kewangan untuk membina banglo atas dua lot tanah.

“Susulan dari pendedahan saya pada 2009, selang setahun kemudian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan untuk mensabitkan isu yang berkenaan dan menjatuhkan hukuman.

“Dari peringkat Mahkamah Rayuan, kes ini akan dibawa ke peringkat Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Mohamad Khir yang juga bekas Menteri Besar Selangor menarik balik saman fitnah RM10 juta yang difailkannya terhadap Suee Lim, hari ini.

Ia berhubung pendedahan Suee Lim terhadap skandal membabitkan bekas ketua eksekutif negeri itu dan rumah agam di Shah Alam.

Peguam Dr Khir, M Athimulam memaklumkan kepada Suruhanjaya Kehakiman, Datuk Azimah Omar berkenaan arahan anak guamnya.

Athimulan juga memohon tidak ada kos yang perlu dibayar Suee Lim.

Peguam M Manoharan yang mewakili Ng, tidak membantah permohonan itu.

Hakim kemudian membatalkan tuntutan saman itu tanpa perintah kos.

-EZY-

Leave a Reply

Your email address will not be published.