Categories
SELANGOR

Tenaga pengajar profesional kaedah tingkat taraf pendidikan OKU

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 12 NOV: Kerajaan Negeri disaran mengambil beberapa inisiatif dalam usaha mempertingkat sistem pendidikan untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

Penjawat awam, Mohd Mustakhim Abdul Rahim, 28, menyarankan Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan khas bagi memberi latihan khusus kepada tenaga pengajar.

oku“Bukan mudah untuk mengendalikan kanak-kanak istimewa ini, jadi tenaga pengajar yang profesional perlu ada.

“Kita mahu golongan ini berminat untuk belajar, tahu berdikari dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi demi masa depan mereka,” kata bapa kepada dua anak ini kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Semalam, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengumumkan Kerajaan Negeri akan membangunkan kemudahan pendidikan pra-sekolah OKU bagi memastikan golongan itu menikmati pendidikan awal seperti kanak-kanak lain.

Katanya, Kerajaan Negeri bersedia menyiapkan kemudahan asas, namun memerlukan dokongan pihak swasta untuk latihan perguruan, kurikulum dan perkara lain berkaitan.

20141112_115246Mengulas hasrat itu, Rosyidah Bai, 39, dari Pelabuhan Klang berharap Kerajaan Negeri dapat mengikuti inisiatif negara luar dalam menyediakan pendidikan kepada golongan OKU.

“Di sini, golongan OKU perlu ke sekolah hingga adakalanya membebankan ibu bapa yang susah kerana perlu berkejar ke tempat kerja dan urusan sara diri lain, akhirnya anak tidak lagi ke sekolah.

“Berbeza dengan negara luar apabila ada tenaga pengajar datang ke rumah dan pembangunan program profesional khusus untuk mendidik anak istimewa.

“Yang penting, kos yang dikenakan nanti jangan membebankan ibu bapa,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.