Categories
KENYATAAN MEDIA

Ucapan Dato’ Menteri Besar semasa Majlis Tandatangan Ikrar Integriti Korporat anak syarikat PKNS

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Yang Berbahagia ;

Tan Sri Haji Abu Kassim bin Mohamed,
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM);

Tuan Haji Azlan bin Md Alifiah,
Pengurus Besar PKNS

Dato’ Haji Mohd Yusoff bin Akope,
Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM

Dato’ Simi bin Abdul Ghani,
Pengarah SPRM Negeri Selangor

Ahli – Ahli Perbadanan PKNS,

Ahli – Ahli Pengurusan,

Terlebih dahulu saya ingin mengalu-alukan kehadiran Yang Berbahagia Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang dapat bersama-sama dengan warga PKNS di Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat.

Hari ini, empat lagi anak syarikat PKNS komited untuk bersama tujuh anak syarikat PKNS yang lain menandatangani Ikrar Integriti Korporat.

PKNS telah menandatangani komitmen ini pada 14 November 2012 diikuti oleh kumpulan pertama empat (4) buah anak syarikat pada 17 Disember 2013 dan kumpulan kedua yang terdiri daripada tiga (3) anak syarikat pada 14 Mei 2014 yang lalu.

pkns-logoDengan termeterainya Ikrar Integriti Korporat antara empat anak syarikat PKNS iaitu Akademi PKNS Sdn Bhd yang membangunkan sektor pendidikan, Rangkaian Hotel De Palma dalam bidang perhotelan dan hospitaliti, SACC Convec Sdn Bhd dalam pengurusan acara dan PKNS Real Estate Sdn Bhd atau PREC yang mempunyai pengkhususan dalam bidang pengurusan aset, ini bermakna lengkaplah senarai 11 anak syarikat PKNS yang telah menandatangani ikrar ini.

Saya mengucapkan syabas kepada PKNS yang berjaya menempatkan diri sebagai perintis organisasi yang mengutamakan integriti bermula dengan penubuhan Bahagian Pengurusan Organisasi & Integriti pada 2012.

Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bersama SPRM dan Transparency International Malaysia (TI-M) melalui pakatan integriti bersama pelanggan PKNS.

Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor berikrar untuk membudayakan nilai integriti, kebertanggungjawaban dan tata kelola yang baik dalam pentadbiran.

Semua anggota perkhidmatan awam dan anak – anak syarikat Kerajaan Negeri perlu mempunyai jati diri merangkumi sikap amanah, keterbukaan dan ketelusan.

Masyarakat yang demokratik menuntut sebuah pentadbiran yang bijak dan efektif (Intelligent and Effective Government).

Pentadbiran kerajaan yang bijak dan efektif memerlukan Muafakat Kepimpinan (Colloborative Leadership). ‘Change in a Country can only happen when there is Enlightened Leader and Enlightened Followers’.

‘Enlightened Leader’ ialah pemimpin yang yakin bahawa pemerkasaan hak rakyat akan mengukuhkan negara.

Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Selangor menolak pemikiran paradigma lama iaitu ‘Secrecy is Security’. Kerajaan Negeri Selangor akan menjunjung pentadbiran dan pengurusan berteraskan ‘Transparency is Security’.

Saya yakin negara akan maju dan sejahtera jika pemerintah melibatkan rakyat secara telus di dalam program pembangunan yang mempunyai impak langsung kepada rakyat.

‘Kerahsiaan’ (Secrecy) bukan lagi boleh dianggap sebagai ‘Keistimewaan’ (Privilege) Kerajaan kerana kerahsiaan banyak memberi keresahan dan menimbulkan prasangka di dalam masyarakat.

Kerahsiaan akan hanya membenihkan amalan rasuah dan salahguna kuasa dalam sesuatu pengurusan.

Kerajaan Negeri Selangor berpendirian bahawa, semua perjanjian – perjanjian syarikat konsesi yang melibatkan kepentingan rakyat umum perlu difahami oleh ‘stakeholders’ sebelum ianya dimeterai.

Dewan Negeri Selangor telah meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat sebagai usaha untuk membolehkan rakyat mendapatkan akses maklumat secara munasabah dari setiap jabatan Kerajaan Negeri Selangor bagi menunjukkan ketelusan dan pentadbiran amanah.

Saya percaya integriti bermula dari diri kita sendiri. Sekiranya kita sentiasa mendukung prinsip-prinsip ini, kita tidak akan berhadapan masalah di kemudian hari.

Seperti kata Henry Wadsworth Longfellow, seorang American poet and educator,“It takes less time to do a thing right than to explain why you did it wrong.”

Badan antarabangsa yang memperjuangkan dasar ketelusan kerajaan, Open Government Partnership (OGP) meletakkan integriti sebagai teras atau ‘core’ kepada sebuah kerajaan yang efektif.

Prinsip ketelusan ini harus disokong oleh semua pihak untuk bersama membuat anjakan paradigma baru.

Atas keyakinan itu, Kerajaan Negeri Selangor akan terus bekerjasama dengan ‘civil societies’ yang bertindak sebagai pemantau untuk memastikan pentadbiran ini berpegang kepada amalan yang berintegriti.

Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri minggu lalu telah mengarahkan supaya Jawatankuasa Kira – kira Wang Awam Negara atau PAC bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negeri Selangor (special select committee) untuk memantau teguran Ketua Audit Negara ke atas semua Jabatan dan Agensi Negeri untuk memastikan setiap satu mengamalkan tatakelola yang berhemah dan berintegriti dalam mengendalikan urusan kewangan dan proses tender.
Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada SPRM di atas sumbangan besar yang telah diberikan kepada PKNS dan Kerajaan Negeri Selangor dalam membentuk jati diri dan membina pentadbiran yang bersih dan berintegriti.

Kerajaan Negeri Selangor akan terus mendukung usaha ini demi mencapai matlamat Negeri Selangor Maju, Sejahtera dan Berkebajikan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.