Categories
KENYATAAN MEDIA

Ucapan MB sempena Konvensyen Sekolah Menengah Agama Tahfiz Aliran Sains Kali ke-5

Assalamulaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh.

Yang saya hormati Sahibus Saadah Ahmad Zaharin Mohd Saad, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor.

Yang Berbahagia Prof. Dr. Haji Anuar bin Ahmad, Presiden dan Naib Canselor UNISEL.

Yang Berbahagia Prof. Madya Dr. Habib bin Maksum, pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Yang Berusaha Tuan Haji Mohamad Amir bin Danhuri, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam JAIS.

Pengetua-pengetua dan wakil-wakil sekolah, tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian.

Alhamdulillah marilah kita panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana pada petang ini dapat saya bersama-sama dalam konvensyen sekolah-sekolah agama tahfiz aliran sains peringkat kebangsaan kali ke-5 tahun 2014.

Walaupun hari ini hari ke-57, saya diberikan amanah dan ini merupakan satu amanah kepimpinan yang cukup berat dan sebenarnya pada hari ini kita sedang giat mempersiapkan ucapan Belanjawan 2015 yang akan dibentangkan dalam berberapa hari yang akan datang.

jais2Namun saya merasa terpanggil untuk meraikan para peserta dan menyertai seacara langsung dalam konvensyen ini kerana saya berpendapat dan mendukung usaha yang dilakukan oleh JAIS selama ini untuk menyatukan pertemuan para ilmuan Islam untuk berwacana dan merencana sistem pendidikan yang lebih holistik pada hari ini dengan cabaran yang cukup getir mendepani kita semua.

Salah-satu cabaran yang dharus kita teliti dalam konvensyen selama tiga hari ini ialah keupayaan kurikulum dan tenaga pengajar untuk menterjemahkan mesej yang terkandung di dalam Al-Quran dalam konteks Sains dan Teknologi.

Yang keduanya ialah bagaimana kita selaku pimpinan dan tenaga pengajar mampu membina minda hafazan ini yang bersifat komprehensif yang mempunyai pemikiran yang kreatif ataupun creative mind dan berinovasi supaya kita dapat melahirkan generasi yang cukup kuat dan membina jati diri muslim di dalam masyarakat kita.

Kita sedia maklum bahawa Islam tidak melihat pendidikan dari skop yang sempit. Ia tidak terbatas pada pendidikan duniawi semata-mata bahkan meliputi dua lapangan iaitu di dunia dan akhirat. Dalam konteks ini, pemikir Agung, Ibn Khaldun telah membahagikan ilmu kepada dua bahagian yang utama.

Pertama, ilmu yang berbentuk fardhu ain yang dituntut ke atas setiap orang supaya mengetahui dan mempelajarinya dalam melaksanakan tuntutan agama seperti ilmu tauhid, fiqh, akhlak, akidah dan sebagainya.

Ilmu yang kedua pula ialah ilmu fardhu kifayah iaitu ilmu yang mesti ada pada sekumpulan orang dalam masyarakat tanpa melihat kepada individu tertentu seperti ilmu pertukangan, kemahiran, perniagaan, kedoktoran, ekonomi, fizik, astronomi dan sebagainya yang boleh mandatangkan manfaat kepada manusia.

Ini membuktikan bahawa agama Islam tidak mementingkan pencapaian intelektual yang tinggi semata-mata bahkan perlu dilengkapi dengan kefahaman yang jelas mengenai agama Islam itu sendiri bagi menghasilkan manusia yang cemerlang di dunia mahupun di akhirat.

jais1Hari ini kita melihat kejayaan dan betapa pendidikan Islam masih lagi relevan dalam konteks Pemerkasaan integrasi antara hafazan Al-Qur’an dengan sains dan teknologi dalam Sekolah Agama Menengah Tahfiz Aliran Sains di Negeri Selangor dan Persekutuan.

Pembudayaan Al-Qur’an dalam mengintegrasikan sains & teknologi adalah merupakan lanjutan dari resolusi para ulama dan cendikia Muslim dalam Persidangan Pertama Dunia Mengenai Pendidikan Islam di Makkah al – Mukarramah pada tahun 1976.

Idea penubuhan Sekolah Agama Menengah Tahfiz Aliran Sains adalah bertujuan untuk melahirkan para saintis dan teknokrat yang bercitra Al – Qur’an dengan mengambil pendekatan hafazan sebagai asas utama dalam kurikulum yang disediakan.

Hal ini merupakan antara wahana yang sangat strategik bagi memartabatkan umat Islam yang masih ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi.

Walaubagaimanapun, kita wajar bermuhasabah sejauh manakah kurikulum yang sedang dipraktiskan dapat menjadi asas yang kukuh bagi menyediakan generasi ilmuan sains tabi’ dan teknologi yang berwibawa berkarya dan mencipta produk-produk sains dan teknologi yang bernilai tinggi dalam pasaran dunia tempatan dan antarabangsa.

Seperkara penting yang wajar diberikan perhatian serius, kecenderungan umat Islam di negara ini menghantar anak-anak mereka memasuki institusi hafazan Al – Qur’an sememangnya menepati dengan amalan tradisi ulama’ saintis dan teknokrat seperti Ibn Sina (Avicenna) yang telah menghafaz Al – Qur’an sejak berumur tujuh tahun serta dapat menghafaz sebanyak 5,000 hadis-hadis sahih.

Yang menarik perhatian kita, Ibn Sina bukan sahaja hebat dalam hafazan Al – Qur’an dan al – Hadis, tetapi beliau juga terkenal sebagai seorang ahli perubatan yang terkenal dengan karya agung Qanun fi al – Tibb di dunia Islam dan di dunia Barat. Sesungguhnya, Ibn Sina telah melakukan proses Tadabbur (penelitian mendalam) dalam ayat-ayat al-kauniyyah yang terdapat di dalam Al-Qur’an seperti di dalam ayat:

Terjemahan: “Dan dibumi terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang yakin, dan juga pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?” (Al-Zariyat: 20-21).

Seiring dengan Tadabbur, Ibn Sina tentunya melakukan proses Tafakkur (pembudayaan berfikir) dan Ta’aqqul (penggunaan akal yang maksima). Inilah manhaj ilmiah di dalam Al-Qur’an yang wajib kita praktiskan.

Dalam hubungan ini, pemikiran tokoh-tokoh saintis Muslim, seperti Profesor Zaghlul al-Najjar, saintis daripada Mesir yang banyak membuat kajian hubungan antara Al – Qur’an dengan ilmu geologi dapat dijadikan sebagai satu contoh yang menarik.

Selain Ibn Sina, tokoh – tokoh saintis Muslim yang ternama dalam sejarah peradaban Islam, kesemuanya telah menjadikn Al – Qur’an sebagai sumber rujukan utama dalam penyelidikan sains dan teknologi.

Al-Biruni, umpamanya, bukan sahaja menguasai ilmu perbandingan agama, tetapi juga hebat di dalam ilmu geometri dan astronomi, Ibn al – Haitam, seorang tokoh matametik, al – Khawarizmi yang terkenal di dalam kajian ilmu kimia dan lain-lain.

Justeru, kita tidak mahu melihat Sekolah Agama Menengah Tahfiz Aliran Sains di negeri Selangor serta di Persekutuan hanya cemerlang di dalam hafazan sahaja tetapi tidak cemerlang dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran sains dan teknologi.

Pendekatan integrasi antara hafazan dan penguasaan cemerlang di dalam ilmu sains dan teknologi adalah penting untuk menjadikan model Sekolah Agama Menengah Tahfiz Aliran Sains unik dan unggul dalam persiapan generasi ulul al-bab yang dapat melakuan upaya pembinaan tamadun Islam pada masa kini dan mendatang.

Bagi menjadikan cita-cita murni kita mencapai matlamatnya, iltizam semua pihak yang bertanggungjawab sangat diperlukan. Tanpa iltizam yang kuat, cita-cita kita akan gagal.

Justeru, kepemimipinan Sekolah Agama Menengah Tahfiz Aliran Sains sewajarnya bekerja dengan lebih serius dan gigih dalam usaha untuk membudayakan Al – Qur’an dari segi hafazan dan kefahaman yang perlu diterjemahkan dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan teknologi.

Kerajaan Negeri melalui JAIS memandang tinggi kepentingan pendidikan dalam usaha menjadi Negeri Pembangunan. Seperti yang saya nyatakan sebentar tadi, dalam rangka Belanjawan 2015 antara teras utama yang akan diberikan perhatian ialah untuk meletakkan sejumlah peruntukan yang cukup besar dalam aspek pendidikan khususnya di UNISEL dan juga KUIS bagi mengangkat martabat umat Islam dan anak-anak kita, insyaAllah.

Justeru, semua aspek pendidikan daripra – Sekolah, Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah perlu dititikberatkan bagi melahirkan warga Selangor yang bukan saja bijak dan berilmu, malah mempunyai keperibadian yang terpuji dan akhlak yang murni.

Kerajaan Negeri Selangor dalam Belanjawan tahun 2015 sekali lagi akan memastikan pembangunan yang akan kita bina adalah pembangunan dalam lensa yang lebih besar yang akan memberberi penekanan aspek moral, kerohanian dan agama.

Kerajaan Negeri menyedari bahawa tidak ada pembangunan yang mampan tanpa kekuatan manusia dengan agamanya, lebih penting , tidak akan ada negara di dunia yang mampu membangun sejahtera sekiranya terus berlaku konflik antara agama dan kaum.

Akhir kata, izin saya tekankan disini bahawa Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan sepenuhnya bagi menjayakan usaha-usaha Jabatan Agama Islam Negeri Selangor dengan kerjasama semua pihak bagi memartabatkan umat Islam sebagai umat yang berilmu dan mempunyai inovasi yang tinggi bagi masa depan umat Islam dan negara kita, insyaAllah.

Dengan kata-kata itu dan dengan lafaz Bismillah, marilah sama-sama kita menyempurnakan upacara perasmian Konvensyen Sekolah Sekolah Tahfiz Aliran Sains peringkat Kebangsaan kali ke-5 tahun 2014.

Terima kasih.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.