Categories
SELANGOR

Unisel anugerah Ijazah Kehormat kepada Tokoh Wartawan ‘Pak Non’

KUALA SELANGOR 8 NOV: Wartawan veteran Allahyarham Zainon Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pak Non dikurniakan Anugerah Anumerta Doktor Kehormat Sains Sosial daripada Universiti Selangor (Unisel) hari ini.

Anugerah itu disampaikan Canselor Unisel Raja Tan Sri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj kepada anak sulung allahyarham, Zalinda Zainon.

Naib Canselor Unisel Prof Anuar Ahmad berkata penganugerahan itu adalah atas sumbangan Zainon terhadap dunia kewartawanan negara.

“Pemilihan beliau yang dikenali sebagai Pak Non dibuat berdasarkan sumbangan dalam dunia kewartawanan.

Melalui pengalaman luasnya…beliau ternyata dihormati oleh pengamal media,” katanya kepada pemberita selepas sidang konvokesyen universiti itu, di sini.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

Zainon yang pernah menjadi guru selama tiga tahun sebelum menyertai dunia kewartawanan 35 tahun dulu merupakan Penolong Editor Kumpulan akhbar The New Straits Times. Beliau kemudiannya menjadi Ketua Pengarang akhbar The Sun pada 2002.

Zainon AhmadZainon yang sering diundang untuk berucap mengenai peranan media dalam persidangan tempatan dan antarabangsa turut aktif dalam pelbagai program latihan untuk wartawan muda di dalam dan luar negara.

Beliau pernah memenangi Media Personality Award pada 2010 dan memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah dan Ijazah Sarjana dalam bidang Hubungan Antarabangsa dari Universiti Malaya.

Beliau pernah belajar mengenai pengurusan akhbar di Thomson Foundation, London dan menjadi felo di Fletcher School of Law and Diplomacy, Tuft University, Boston, Amerika Syarikat.

“Tiga bulan sebelum bapa saya meninggal memang dia ada katakan untuk menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah dan ‎dia mahukan gelaran Dr Zainon Ahmad.

“Dia mahu saya ikuti pengajian sarjana bersama-samanya di Unisel. Itu memang dia sebut tetapi kerana sibuk dengan kerja, dia tak sempat mencapai cita-citanya,” kata Zalinda ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Konvokesyen Unisel ke-9 di Bestari Jaya.

zalinda-zainon-anugerah-posthumousZalinda berkata, anugerah ijazah kehormat yang diberikan Unisel hari ini sebagai lambang kegigihan kerja bapanya dalam melakukan kerja lapangan sebagai seorang wartawan.

“Terima kasih kepada senat Unisel kerana memberi peluang kepada ayah saya yang merupakan impiannya dan kini menjadi kenyataan. Ini merupakan apa yang selalu diinginkannya, ijazah doktor falsafah,” katanya.

Zainon meninggal dunia pada usia 68 tahun dipercayai akibat kanser hati di Wad Temenggong (HDW) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Baru pada 27 Mac 2013.

Konvokesyen Unisel kali ke-9 akan berlangsung selama tiga hari melibatkan 2,691 graduan yang terdiri daripada 19 penerima ijazah doktor falsafah, 27 penerima ijazah sarjana, 1,146 penerima ijazah sajana muda dan 1,499 penerima diploma.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.