Categories
SELANGOR

52 pembeli rumah terbengkalai Taman Bukit Impian terima kembali RM5.6 juta

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 16 DIS: Kerajaan Selangor memulangkan kembali sejumlah RM5.6 juta kepada 52 pembeli rumah projek Taman Bukit Impian, Seksyen U10 Bukit Cherakah yang terbengkalai sejak 2005.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Selangor mengambil langkah proaktif membangunkan semula projek itu bagi memastikan perumahan rakyat diberi keutamaan.

“Taman Bukit Impian, namanya sedap tetapi impian pembeli terkubur lebih 10 tahun. Hari ini, Kerajaan Negeri tampil memastikan impian pembeli memiliki rumah dapat direalisasikan.

“Atas sikap tidak bertanggungjawab pemaju ini, Kerajaan Negeri tidak ada pilihan melainkan membangunkan semula pembangunan di tapak berkenaan dan kita bersetuju membayar balik sepenuhnya kepada pembeli melibatkan kos RM5.6 juta,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Cek Bayaran Saguhati kepada Pembeli Projek Perumahan Taman Bukit Impian, Seksyen U10, Bukit Cherakah di Hotel De Palma di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Perbandanan kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Azlan Md Alifiah, Pengerusi Eksekutif Sympony Life Berhad, Tan Sri Mohamed Azman Yahya dan Pengurus Besar Selangor Industrial Corporation Sdn. Bhd (SIC), Zulkifli Khalid.

Melalui inisiatif itu, Kerajaan Selangor memberi kepercayaan dan tanggungjawab kepada PKNS membangunkan semula projek itu.

Projek melibatkan 138 unit rumah merangkumi unit banglo, zero lot banglo, semi D, town house dan Rumah Mampu Milik Selangorku itu dimajukan anak syarikat milik penuh PKNS, Selangor Industrial Corporation Sdn. Bhd (SIC) dengan usahasama Sympony Life Berhad.

“Ia dijangka siap dalam tempoh 42 bulan selepas menerima kelulusan Kebenaran Merancang (KM) dari pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Sebelum ini, Projek Taman Bukit Impian dimajukan pemaju swasta pada 2003 dan kemudiannya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memberhentikan keseluruhan aktiviti projek pada 2005 kerana masalah kewangan dihadapi pemaju.

“Ini tindakan tidak bertanggungjawab pemaju, mereka membebankan pembeli kerana terpaksa membayar pinjaman bank dan sebahagian lain terpaksa menyewa sementara mendapat rumah dibeli ini,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.