Categories
SELANGOR

Adun Muda: Belia berpeluang curah idea dasar negeri, pupuk kepimpinan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 17 DIS : Golongan belia yang menyertai program Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Muda Selangor berpendapat pengajuran aktiviti sedemikian memberi pengalaman berbeza kepada mereka untuk mendalami peranan sebagai wakil rakyat.

Rata-rata mereka yang ditemui Selangorkini melahirkan kegembiraan kerana bukan sahaja terpilih sebagai peserta dalam sesi perbahasan kali ini, malah turut berpeluang berhujah bersama dua Exco negeri iaitu Amirudin Shari dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Seorang peserta, Abu Zar Ahmad Zubir, 24, yang mewakili Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Selangor berpendapat program berkenaan memberi peluang kepada belia untuk mencurahkan idea selain membantu Exco terlibat menyediakan dasar berkaitan belia dan pendidikan.

Katanya ia adalah proses pendemokrasian yang baik bagi membolehkan belia melibatkan diri secara langsung dalam politik dan memupuk semangat kepimpinan di kalangan golongan muda.

“Diharapkan pada sesi akan datang terdapat lebih banyak idea daripada golongan belia untuk membantu Exco dan menjadikan Selangor sebagai modal bagi belia berkumpul, berkongsi, memberi idea dan menjadikan negeri ini paling maju di Malaysia,” katanya.

Adun Muda di Dewan Annex (9)Aisya Bakar, 22, dari Universiti Malaya pula berpendapat program ini memberi gambaran jelas tentang perjalanan perbahasan di dalam dewan dan beliau merasa bangga kerana terpilih sebagai salah seorang peserta.

“Ia adalah program yang bagus dan memberi pengalaman berbeza kepada golongan belia.

“Selaku pelajar lulusan undang-undang, saya tahu secara teori bagaimana proses ini berlangsung tetapi ia tidaklah semudah yang disangka dalam membuat dasar dan polisi, jadi saya amat menghargai peluang yang diberi ini,” katanya.

Seorang lagi peserta, Khairy Hazique Muhammad Asri, 19, menyambut baik usaha Kerajaan Selangor dalam memberi peluang kepada golongan belia daripada pelbagai latar belakang untuk berkongsi pendapat masing-masing dalam isu belia dan pendidikan.

Katanya peluang yang terhad ini perlu digunakan sebaik mungkin bagi memastikan belia terus maju ke hadapan terutama dalam bidang politik.

“Saya harap pada masa akan datang semua belia di Selangor berani untuk melibatkan diri dalam bidang yang lebih mencabar di peringkat tertinggi iaitu peringkat negeri.

“Saya juga berharap para belia terus bersama-sama untuk memajukan generasi muda bagi kepentingan negeri dan negara,” kata pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini.

Bagi Dinesh Kunasekar, 22, program ini perlu dijadikan platform bagi Kerajaan Selangor untuk menggalakkan belia supaya menonjolkan bakat kepimpinan di peringkat negeri.

Katanya sebagai anak jati Selangor, beliau merasa bangga apabila Selangor melangkah setapak ke hadapan dengan pengajuran program seperti ini.

“Secara dasarnya kalau di luar kita hanya tengok dan tidak tahu apa yang berlaku, tetapi selepas saya sendiri terlibat, baru saya tahu kesusahan yang perlu Adun lalui.

“Kita lebih tahu apa yang berlaku dan tidak boleh hanya mengkritik dengan mudah tentang apa yang berlaku,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.