Categories
SELANGOR

Aedes lebih baik dari Umno, tak amal perkauman

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 3 DIS: Kerajaan Negeri meluluskan pindaan usul di bawah Peraturan Tetap 26(1) bagi tindakan drastik memerangi penularan wabak denggi demi kesihatan hidup rakyat yang berkualiti.

Usul yang dibawa Halimaton Saadiah Bohan (BN-Kota Damansara) itu diluluskan sebulat suara tanpa sebarang bantahan.

Sementara itu, Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) menarik perhatian dewan ketika menyokong usul itu apabila menyifatkan nyamuk aedes sebagai lebih baik daripada Umno kerana spesis nyamuk berkenaan tidak mengamalkan perkauman.

denggi“Saya menyokong usul ini walaupun dibawa ADUN pembangkang. Pada saya, nyamuk aedes jauh lebih baik dari Umno.

“Ini kerana, aedes tidak mengamalkan perkauman dan terbukti apabila ia menggigit. Aedes tidak mengira kaum, Melayu, Cina dan India, semua dia gigit, bahkan tidak kira pembangkang atau kerajaan,” katanya disambut dengan sorakan ahli dewan yang lain.

Sementara itu, Tiew Way Kang (DAP-Teratai) yang turut menyokong usul itu mencadangkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lebih bertegas dengan tidak memberi pengurangan kompaun kepada pesalah.

“Saya mohon Kerajaan Negeri memberi arahan kepada seluruh PBT untuk bersikap lebih tegas dengan tidak memberi pengurangan kompaun kepada pesalah yang menyebabkan penularan wabak denggi.

Tiew Way Kang“Rampasan tanah juga perlu dilakukan kepada tapak projek yang berulang kali melakukan kesalahan pembiakan aedes,” katanya.

Selain itu, Way Kang juga berkongsi inisiatif pencegahan aedes yang beliau lakukan di DUNnya melalui penganjuran pertandingan memburu jentik-jentik.

Katanya, pendekatan dibuka khusus kepada kanak-kanak untuk menjejaki jentik-jentik aedes di kawasan kediaman mereka.

“Kanak-kanak yang dapat jentik-jentik terbanyak akan diberi hadiah. Ini adalah usaha mendidik kanak-kanak untuk memastikan kawasan kediaman mereka bebas dari aedes,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.