Categories
SELANGOR

Asnaf, fakir miskin bersyukur LZS laksana tanggungjawab

Oleh : AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 10 DIS : Bantuan agihan pendidikan untuk anak-anak asnaf fakir dan miskin oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) disambut baik kerana ia meringankan bebanan mereka yang berpendapatan rendah.

Rata-rata asnaf yang ditemui ketika program agihan bantuan pendidikan di daerah Petaling di Masjid Nurul Ehsan dekat sini melahirkan perasaan gembira atas sumbangan yang diberikan.

Seorang asnaf, Azizah Nayan, 49, berkata bantuan itu membolehkannya menanggung perbelanjaan sekolah anak-anak terutama dari segi pembelian pakaian dan peralatan sekolah.

Beliau yang bekerja sebagai anggota pasuka Relawan Ikatan Rakyat Malaysia (RELA) tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menampung kehidupannya bersama tiga orang anak yang masih bersekolah.

zakat interview A“Saya amat berterima kasih kepada pihak LZS kerana sudi memberi sumbangan ini kepada kami sekeluarga untuk membiayai persekolahan anak-anak.

“Apa juga bantuan yang diterima saya terima dengan ikhlas dan penuh syukur,” katanya kepada Selangor Kini.

Seorang lagi penerima, Azizah Majid, 48, yang turut menerima bantuan sama mengucapkan rasa syukur atas agihan bantuan pendidikan untuk menampung lima orang anaknya.

Beliau yang bekerja sebagai pembantu operator hanya mempunyai pendapatan kecil, apatah lagi suami hanya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

zakat interview B“Saya gembira sangat atas bantuan ini kerana dapatlah menanggung anak-anak untuk membeli kelengkapan sekolah.

“Saya akan gunakan ia sebaik mungkin bagi memastikan anak-anak memiliki kelengkapan persekolahan yang sempurna,” katanya.

Seramai 1,006 orang keluarga asnaf fakir dan miskin di daerah ini menerima bantuan agihan pendidikan untuk anak-anak mereka bagi sesi persekolahan 2015 daripada LZS.

Bantun itu berbentuk yuran persekolahan dan baucar pakaian serta peralatan sekolah bernilai antara RM170 hingga RM200.

Leave a Reply

Your email address will not be published.