Categories
SELANGOR

Catatan pengalaman terjah banjir di Kelantan

Oleh: NURUL FARINA NAZLAN

 

Sebaik pesawat mendarat kira-kira jam 12 tengah hari tanggal 26 Disember lalu, delegasi Selangor disambut Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah.

Terpapar riak kagum Nik Amar terhadap kesungguhan Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali membantu mangsa banjir di negeri itu.

Delegasi kemudian dibawa ke Masjid Telipot bagi penyerahan cek bantuan Kerajaan Selangor berjumlah RM1 juta untuk mangsa banjir.

“Memang terkejut melihat banjir di Kelantan dari pesawat. Saya bersimpati kepada pentadbiran dan rakyat Kelantan atas kejadian tidak terduga ini.

“Banjir nampak semakin teruk. Jadi, kita adakan mesyuarat khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk teliti semula jumlah itu.

“Ia memerlukan tenaga dan bantuan ramai untuk memulihkan persekitaran yang teruk dilanda banjir. Usaha berterusan perlu untuk membantu mereka,” kata Mohamed Azmin.

mbb

Beliau bersama delegasi kemudian dibawa ke pusat penempatan di Maktab Sultan Ismail yang menempatkan kira-kira 2,000 mangsa banjir yang kekurangan bekalan makanan dan keperluan.

Sebak melihatkan warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan kanak-kanak terbaring di tikar tetapi masih mampu tersenyum sekalipun dalam serba kekurangan dan kekangan keperluan.

Kesudian Mohamed Azmin turun padang mengunjungi mereka sedikit sebanyak mengurangkan kesedihan akibat rumah dan harta benda ditenggelami air.

Mangsa, Mohd Nori Ahmad, 53, berkata sumbangan itu besar maknanya kepada rakyat yang berada di pusat penempatan seluruh Kelantan.

“Terima kasih banyak YAB Mohamed Azmin Ali dan Kerajaan Selangor atas sumbangan,” katanya.

“Alhamdulillah, semoga Allah SWT menambah rezeki kepada Kerajaan Selangor atas keprihatinan kepada mangsa banjir Kelantan.

“Sedikit sebanyak dapat menampung kerugian ekoran ujian ini. Rasa bangga kerana Menteri Besar Selangor sendiri turun padang,” kata mangsa, Sharifah Mariam Syed Alwi berusia 67 tahun.

MB Azmin

Pelbagai luahan disampaikan kepada Dato’ Menteri Besar itu terutama perihal bantuan yang terhad dan bermacam kepayahan lain.

Keprihatinannya tidak terhenti di situ.

Mohamed Azmin kemudian meranduk air, meredah banjir dengan menaiki lori berikutan helikopter terpaksa menghantar bekalan bantuan kepada mangsa banjir di pedalaman.

Atas bantuan Exco Kebajikan Kelantan, Mumtaz Mohd Nawi dan Adun Salor merangkap Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, mereka tiba ke pusat penempatan kedua di Sekolah Kebangsaan Kota, Salor.

Keadaan mereka sangat daif berbanding di Maktab Sultan Ismail – bekalan elektrik terputus dan air mencapai paras pinggang.

Anak-anak kecil kelaparan berebut apabila dihulur biskut dan roti, bahkan mangsa juga mengeluh dua hari tiada bekalan nasi dan bergelap tanpa lilin, diiringi tangisan bayi kepanasan pada waktu malam.

Delegasi turut merasai detik sukar apabila tidak dibenarkan meneruskan perjalanan ke Kuala Krai akibat air naik tinggi tetapi Mohamed Azmin sudah tekad.

Beliau bertegas mahu menziarahi penduduk setempat dan meredah air sepanjang Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, sebelum menaiki bot meninjau kawasan sekitar.

Suasana sepanjang perjalanan yang mulai gelap tanpa lampu di kiri kanan jalan, sentiasa ada penduduk menumpang lori delegasi untuk ke kawasan selamat.

Delegasi juga berkesempatan bertemu beberapa individu dari Kuala Lumpur yang balik kampung untuk melihat keadaan keluarga berikutan mereka terputus komunikasi lebih dua hari.

nikajis

Kira-kira jam 10 pagi keesokannya, delegasi berpecah dua. Mohamed Azmin mengunjungi Hospital USM, Kubang Kerian untuk menziarahi Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat yang uzur.

Beliau kemudian menaiki helikopter bersama Husam meninjau keadaan banjir, selain melawat mangsa di Kuala Krai.

Kumpulan kedua menuju ke Bilik Gerakan Banjir PAS Ketereh sebelum bergerak ke pusat penempatan banjir di Politeknik Kota Bharu di Kok Lanas untuk menyalurkan bantuan bekalan makanan, sebelum ke pusat penempatan di Sekolah Kebangsaan Pangkal Kalong, Ketereh.

Keadaan di dua pusat penempatan itu lebih kritikal apabila bekalan air terputus hingga menyukarkan mangsa mengambil wudhuk dan tidur hanya beralas lantai.

Selain kewangan, Mohamed Azmin juga menyediakan bantuan lain dengan mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) membantu misi pasca banjir.

Segala rintihan dan aduan mangsa banjir diperinci untuk bantuan lanjut supaya bekalan dan keperluan dapat diagih dalam masa terdekat.

Delegasi itu disertai Setiausaha Politiknya, Shuhaimi Shafiei; Exco Kerajaan Negeri, Dr Daroyah Alwi dan Amirudin Shari, selain Pengerusi Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor (PANTAS), Hamsah Djabir.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Mohamed Azmin bergegas menziarahi dua pusat pemindahan banjir di Klang untuk menyerahkan bantuan.

Pusat berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai, Meru yang menempatkan 47 mangsa dan Sekolah Kebangsaan Abdul Samad, Kapar (38 mangsa).

Banjir berlaku dengan kedalaman air adalah 0.6 meter, mengakibatkan limpahan air parit ekoran hujan lebat, sehari sebelum itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.