Categories
KENYATAAN MEDIA

Dakwaan cubaan pengaruh hakim perlu disiasat

Oleh: Datuk Mahfuz Omar

PAS memandang berat laporan Malaymail online bertarikh 4 Disember yang melaporkan berkenaan suatu teks penghakiman yang ditulis oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam. Di dalam penghakiman tersebut, hakim tersebut mendakwa seorang peguam kanan telah melakukan beberapa perbuatan tidak wajar yang boleh ditafsirkan sebagai cuba untuk mempengaruhi hakim tersebut yang sedang membicarakan sebuah kes yang melibatkan anak guam kepada peguam terbabit.

Kenyataan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi ini adalah sesuatu yang amat serius kerana ianya secara langsung menyentuh tentang kredibiliti sistem kehakiman dan integriti pengamal undang-undang di negara ini. Apatah lagi peguam kanan yang didakwa melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak wajar tersebut dilaporkan adalah salah seorang calon yang sedang dipertimbangkan untuk dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi dan berpotensi untuk mendaki hirarki sistem kehakiman negara hingga ke peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Seksyen 23 (2) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 antara lain menyebut bahawa antara kriteria utama yang diperlukan oleh seseorang calon hakim ialah mestilah seorang yang berintegriti dan memiliki karakter moral yang baik.

Dakwaan sebegini tidak seharusnya dipandang ringan dan kerajaan serta badan-badan yang berkaitan seperti Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Majlis Peguam bertanggungjawab untuk melaksanakan langkah-langkah yang perlu di dalam bidangkuasa masing-masing bagi memastikan imej badan kehakiman dan profesion kepeguaman di negara ini tidak terus tercemar.

Justeru, PAS mendesak supaya tindakan segera mesti diambil seperti berikut :

  1. SPRM perlu menyiasat dakwaan yang dibuat oleh hakim tersebut berkaitan dengan cubaan peguam terbabit untuk mempengaruhinya di dalam mendengar kes yang melibatkan anakguam kepada peguam terbabit dan sekiranya dakwaan tersebut terbukti benar maka tindakana pendakwaan hendaklah diambil;

  1. Dengan berasaskan kandungan penghakiman tersebut, Majlis Peguam hendaklah merujuk perkara ini kepada Lembaga Tatatertib Peguam yang ditubuhkan di bawah Akta Profesyen Undang-Undang 1976 bagi membolehkan peguam terbabit disiasat dan diambil tindakan sewajarnya jika didapati melanggar etika sebagai seorang peguam;

  1. Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman hendaklah menggantung dan menangguhkan serta merta sebarang proses pelantikan atau penilaian ke atas peguam terbabit untuk dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi; dan
  2. Kerajaan hendaklah mengambil tindakan ke atas hakim terbabit sekiranya didapati dakwaan yang dibuat di dalam penghakiman tersebut adalah tidak benar.

 # Datuk Mahfuz Omar adalah  Ketua Penerangan PAS merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena

Leave a Reply

Your email address will not be published.