Categories
SELANGOR

DAP mahu PR tunai janji jawatan Timbalan Speaker

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 1 DIS : DAP menuntut Pakatan Rakyat menyerahkan jawatan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) seperti yang telah mereka janjikan, kata Adun Sekinchan, Ng Suee Lim.

Gagal memperoleh undi secukupnya dalam pemilihan Timbalan Speaker DNS baru-baru ini, Suee Lim berkata DAP menyerahkan penyelesaian isu ini kepada Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua untuk menggesa enakmen diubah supaya jawatan Timbalan Speaker ke-2 boleh diwujudkan, untuk diserah kepada DAP.

“Tamatnya kemelut Menteri Besar, Majlis Pimpinan Pakatan telah bersetuju untuk melantik satu lagi Timbalan Speaker,” kata Suee Lim ketika ditemui pemberita di ruang legar DNS, hari ini.

DAP mencalonkan Ng Suee Lim untuk jawatan itu minggu lalu, namun jawatan tersebut dimenangi Shafie Ngah (PAS-Bangi) dengan 28 undi, manakala Suee Lim memperoleh 14 undi.

Kerusi Speaker DNS diduduki Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh dari DAP.

Mengulas lanjut, Sue Lim bagaimanapun berkata persetujuan baru di kalangan komponen Pakatan Rakyat perlu dicapai terlebih dahulu.

“Hanya perlu ubah enakmen. Itu pun kalau persetujuan berhubungnya dicapai dikalangan komponen Pakatan Rakyat.

“Buat masa ini, kita belum ada apa-apa mesyuarat. Akan datang mungkin setelah selesai sidang DNS,” katanya.

Speaker dan Timbalan Speaker merupakan pangkat yang diberikan kepada individu yang mempengerusikan dewan legislatif.

Tugas rasmi Speaker dan Timbalan Speaker ialah meredakan perdebatan, membuat keputusan berhubung prosedur dewan, mengumumkan keputusan pengundian, menentukan wakil rakyat yang mana boleh bersuara semasa dewan bersidang, dan mengenakan hukuman displin keatas wakil rakyat yang melanggar prosedur dewan.

Menurut amalan lazim, Speaker dan Timbalan Speaker dilantik oleh wakil rakyat secara undian dari kalangan wakil rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.