Categories
SELANGOR

Exco: ‘Beri joran pada usahawan bukan ikan’

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 17 DIS: Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan usaha pembudayaan keusahawanan di Selangor sebagai pemangkin meningkatkan taraf hidup rakyat.

Exco Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari bagaimanapun berkata usaha itu tidak harus diterjemahkan secara ‘one-off’ atau secara tunai semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata, platform dan ruang perlu disediakan secara jangka masa panjang bagi menjamin kelangsungan kehidupan rakyat yang lebih baik.

“Kita tidak mahu hanya memberi ikan kerana itu hanya memberi peluang sekali makan sahaja.

“Tetapi kita mahu beri pancing atau joran agar mereka dapat peluang berpanjangan untuk mendapat hasil dan pulangan lebih baik,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Aspirasi Usahawan PKNS 2014 bertempat di Bangunan Bizpoint di Seksyen 7.

DSC_3162

Hadir sama ialah Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Azlan Alifiah dan Pengurus Besar PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), Fakru Radzi Ab Ghani.

Sejurus berucap Amirudin kemudiannya merasmikan PKNS BizClub sebelum menyaksikan sesi menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Bahagian Pembangunan Usahawan dan PREC yang diwakili kedua-dua pengurus besarnya.

Mengikut perjanjian, PREC akan menawarkan tapak niaga di kompleks miliknya dengan kadar minima sementara PKNS akan menyediakan usahawan bagi menjalankan perniagaan di tapak berkenaan.

Pada majlis sama juga, seramai 33 siswazah daripada program Graduate Realising Opportunity and Way Forwad (GROW) turut diraikan.

Program GROW terbuka kepada graduan pemegang diploma dan ijazah di bawah 30 tahun yang akan diberi latihan teori selama enam bulan berhubung aspek perniagaan seperti pengurusan kewangan dan jati diri usahawan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.