Categories
NASIONAL

FOMCA: Siasat punca RON97 kurang di pasaran

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM,5 DIS: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyiasat terperinci krisis bekalan minyak RON97 yang berlaku selepas pengumuman pengapungan harga bahan api pada 1 Disember lalu.

Timbalan Presiden, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata ada kemungkinan krisis berlaku itu disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang cuba ‘menyimpan stok’ RON97 memandangkan mereka ‘tahu lebih awal’ tindakan pengapungan harga akan berlaku demi mengaut keuntungan.

“Apablia permintaan meningkat, kementerian sepatutnya ambil tindakan segera supaya stok dihantar secepat mungkin kepada stesen minyak tanpa menimbulkan masalah kepada pengguna.

RON 97“Ini memerlukan penyiasatan daripada kementerian mengapa pengurangan RON97 itu berlaku.
“Kita tidak boleh anggap masalah bekalan tetapi mungkin ada masalah lain yang tidak kita ketahui,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau secara peribadi sudah mula menyedari akan berlakunya krisis bekalan memandangkan sebelum pengapungan harga diumumkan, terdapat beberapa stesen minyak sudah memaklumkan kehabisan bekalan minyak RON97.

“Seminggu sebelum pengumuman pengapungan saya lihat memang ada beberapa stesen kehabisan stok RON97. Maksudnya seminggu sebelum itu ia sudah berlaku (kehabisan stok).

“Bila perbezaan di antara RON95 dengan RON97 sekitar 20 sen, mungkin ramai bertukar kepada RON97. Jadi mungkin isu ini terjadi di sesetengah tempat sebab dikatakan minyak RON97 diambil di Singapura sedangkan RON95 diambil di beberapa tempat seperti Port Dickson dan Terengganu.

“Sebelum ini hanya 10 peratus sahaja yang menggunakan RON97 bila beza harga rendah maka permintaan meningkat,” tambahnya lagi.

Jelasnya, meskipun masih mempunyai altenatif minyak RON95 (tidak seperti diesel) namun ia mendatangkan masalah kepada pemilik kenderaan yang secara spesifiknya terpaksa menggunakan minyak RON97.

Kekurangan bekalan minyak RON97 mutakhir ini memberikan kesan kepada pengguna selepas penurunan harga sebanyak 9 sen menjadikan harga baru bagi bulan Disember ditetapkan pada RM2.46 seliter.

Sementara harga minyak petrol RON95 pula turun 4 sen kepada RM2.26 seliter namun diesel berdepan kenaikan sebanyak 3sen menjadikan harga yang ditetapkan ialah RM2.23 seliter.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.