Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri salur bantuan segera ringan beban mangsa banjir Hulu Bernam

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA KUBU BHARU, 2 DIS: Kerajaan Negeri akan menyalurkan bantuan segera bagi meringankan bebanan semua mangsa banjir kilat di beberapa kampung di Hulu Bernam yang kini ditempatkan di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), Kampung Gesir Tengah, di sini, sejak semalam.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri dan beberapa pihak berkuasa lain akan bekerjasama menangani masalah yang berlaku serta melihat keperluan yang mesti diberikan untuk mereka di pusat pemindahan sementara berkenaan.

banjirulubernam2“Kita akan berusaha dan buat apa sahaja untuk membantu semua keluarga yang terbabit dalam kejadian ini,” katanya ketika melawat pusat pemindahan sementara itu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi, keadaan hujan dijangka akan berlarutan seminggu lagi dan diharapkan keadaan itu tidak berpanjangan serta akan pulih kembali seperti biasa.

“Hujan yang berlaku semalam adalah di luar jangkaan dengan aliran air berlebihan. Bagaimanapun, kita berharap ia tidak lama dan bersama kita berdoa semoga keadaan menjadi bertambah baik,” katanya.

banjirulubernam3Mohamed Azmin turut menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri kepada semua keluarga mangsa dalam lawatan singkat itu yang turut dihadiri Exco Kesihatan, Dr Daroyah Alwi.

Seramai 192 orang daripada 58 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara itu dan antara kampung yang terbabit dalam kejadian banjir berkenaan adalah Kampung Gesir, Kampung Gesir Tengah, Kampung Lalang dan Kampung Masjid.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.