Categories
SELANGOR

MB: Biasiswa Menteri Besar tiada tatacara, mekanisme jelas

Oleh : Naeem Raffi

SHAH ALAM, 1 DIS : Sehingga hari ini, Kerajaan Negeri belum mempunyai mekanisme dan tatacara yang jelas untuk melaksanakan program Biasiswa Menteri Besar yang dijanjikan dalam Manifesto Pakatan Rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata biarpun perkara tersebut telah beberapa kali diumumkan sebelum ini, ia sekadar menyebut akan dilaksanakan oleh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

“Sehingga hari ini tidak ada mekanisme dan tatacara yang jelas dirancang bagi pelaksanaan biasiswa berkenaan.

“Sebab itu saya tidak dapat mempericikan perkara ini hari ini,” katanya menjawab pertanyaan lisan daripada Yeo Bee Yin (DAP-Damansara Utama) di sidang DNS, pagi ini.

Sebelum ini, Mantan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata satu dana baru akan diwujudkan bagi merealisasikan pemberian Biasiswa Menteri Besar yang akan dilancarkan secara rasmi pada Februari 2014.

Katanya, dana itu dari sumber berasingan daripada RM 8 juta yang dibentangkan dalam Belanjawan Selangor 2014 yang merupakan biasiswa negeri.

“Kerajaan Negeri kini dalam perbincangan untuk melantik panel pemilihan biasiswa yang bakal terdiri daripada pakar akademik, sumber manusia dan mereka yang berpengalaman dalam proses pemilihan berkenaan,” kata Adun Bebas, Pelabuhan Klang itu.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata biarpun biasiswa itu masih belum ditetapkan pelaksanaannya, Kerajaan Negeri tetap mengambil pendekatan dan inisiatif lain dengan memberi fokus terhadap beberapa program bantuan pendidikan berbentuk biasiswa dalam Belanjawan Selangor 2015.

“Kita mengambil pendirian untuk meneruskan Tabung Kumpulan Biasiswa Negeri Selangor bernilai RM16 juta, dan Program Hadiah Anak Masuk Universiti RM8 juta.

“Selain dari itu, kita juga akan memperkenalkan biasiswa kepada anak Selangor desa dan dari keluarga berpendapatan rendah bernilai RM10 juta dan program Dana Sara Diri Anak Selangor bernilai RM12 juta setahun,” katanya.

Dalam Belanjawan Selangor 2015, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sejumlah RM10 juta setahun untuk Tabung Biasiswa Selangorku khusus untuk anak Selangor dari desa dan keluarga berpendapatan rendah yang menuntut di Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

“Bagi sektor pendidikan tinggi agama, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM2 juta khusus bagi Program Pendidikan Pengajian Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat yang ditawarkan oleh KUIS akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan dan Anak Syarikat Negeri. Dengan demikian, KUIS akan segera berstatus universiti penuh,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.