Categories
SELANGOR

MB: Isu RM2.6 juta rujuk Penasihat Undang-Undang Negeri

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 16 DIS: Pengurusan baru Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) akan merujuk Penasihat Undang-Undang Negeri bagi menentukan tindakan seterusnya isu pembayaran gratuiti RM2.6 juta kepada lapan pembantu mantan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata beliau mahu beberapa tindakan diambil dalam kes itu.

MBI“Dalam pertemuan dengan pihak pengurusan MBI pagi tadi, saya cadangkan kepada mereka untuk merujuk kes ini kepada penasihat undang-undang negeri.

“Tindakan perlu diambil kerana beberapa perkara itu memang tidak dipatuhi,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin enggan mendedahkan bentuk tindakan yang diambil.

“Perkara itu, (MBI) kena bincang dengan penasihat undang-undang,” katanya.

Sebelum ini, lapan pegawai Abdul Khalid yang dilantik MBI dilaporkan menerima bayaran pampasan bernilai RM2.6 juta.

Pembayaran itu didakwa dibuat pada penghujung tempoh perkhidmatan Abdul Khalid sebelum Azmin mengambil alih jawatan Menteri Besar.

Hasil semakan laporan audit ke atas bayaran pampasan itu dibentangkan di Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 3 Disember lalu mendapati wujud kesalahan dari segi tatacara dan prosedur pembayaran.

Ia melibatkan lebihan pembayaran kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Husin dan bekas Setiausaha Politik, Mustapha Mohd Talib.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.