Categories
SELANGOR

MB naik lori, ‘terjah’ pusat pemindahan banjir

Oleh: NURUL FARINA NAZLAN

KOTA BHARU, 27 DIS: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, sanggup menaiki lori Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) bagi meninjau lokasi banjir di Kuala Krai, di sini, semalam.

Namun, rombongan Mohamed Azmin tidak dapat meneruskan hasrat itu apabila lori berkenaan tidak dibenarkan melalui kawasan yang dikhuatiri terlalu dalam.

10403046_10204664791413038_6956631859797183949_nMohamed Azmin bersama Setiausaha Politiknya, Shuhaimi Shafiei; Setiausaha Sulitnya, Muhammad Hilman Idham dan Exco Kerajaan Negeri, Dr Daroyah Alwi serta Amirudin Shari juga Pengerusi Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusian Selangor (PANTAS), Hamsah Djabir kemudian turun di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai bertemu penduduk di kawasan berhampiran.

Lawatan itu turut disertai Exco Wanita, Keluarga dan Kebajikan Kelantan, Mumtaz Mohd Nawi dan beberapa pimpinan PKR negeri.

Rombongan itu disambut baik penduduk yang tidak menyangka Mohamed Azmin sanggup turun dari lori dan meredah banjir sehingga paras pinggang.

Beberapa mangsa banjir yang terkandas turut menumpang lori yang dinaiki Mohamed Azmin untuk ke kawasan yang lebih selamat.

Mohamed Azmin kemudian bertemu Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, sebelum dibawa ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Seri Kota, Jalan Salor, di sini.

Beliau dan Husam meluangkan masa bersama mangsa banjir dan mengenalpasti bentuk barangan keperluan yang boleh disalurkan melalui PANTAS.

Mohamed Azmin dijangka meneruskan hasrat melawat mangsa banjir di Kuala Krai bagi melihat sendiri keadaan di sana, hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.