Categories
SELANGOR

MB: Namakan Ketua Pembangkang DNS baru sebelum Mac 2015

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 15 DIS: Kerajaan Negeri menuntut Barisan Nasional (BN) Selangor bersikap matang dalam isu kekosongan peranan Ketua Pembangkang di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, peranan Ketua Pembangkang itu penting bagi memastikan konsep periksa dan imbang dilaksanakan dalam proses demokrasi.

DNS wide 01Katanya, jika BN masih berdegil ia bukan sahaja menonjolkan sikap tidak menghormati proses demokrasi, malah BN Selangor gagal memberikan perkhidmatan baik kepada rakyat.

“Semua itu terpulang kepada BN Selangor (lantik atau tidak) tetapi mereka perlu membuat keputusan terbaik untuk negeri dan jangan jadikan perkara ini sebagai isu yang wajar dipolitikkan (kerana) ia melibatkan kepentingan rakyat.

“Mereka perlu putuskan ketua pembangkang sebelum sidang akan datang (dijangka Mac 2015),” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sumbangan Kembali Ke Sekolah anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) di Dewan Megawati, di sini, semalam.

Pada 8 Disember lepas, Adun Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang DNS dan memulangkan kereta rasmi selepas beliau menolak perlantikan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira–kira Wang Awam (PAC) Negeri.

Sehingga kini, nama Ketua Pembangkang DNS yang baru masih belum dinamakan.

“Selain peranan Ketua Pembangkang dan kita juga memerlukan beberapa adun daripada mereka (BN) untuk mengambil peranan dalam Jawatankuasa Pilihan,” katanya.

Pada 11 Disember lalu, Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dalam reaksinya berkata pihaknya akan mengkaji terlebih keperluan jawatan ketua pembangkang sebagai Pengerusi PAC menerusi lantikan secara automatik menerusi Peraturan Tetap 68 (1) itu.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.