Categories
SELANGOR

MB: Peneroka asal dialu-alukan pohon TOL

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 1 DIS : Mana-mana peneroka asal yang sudah mendiami tanah negeri lebih dari tempoh ditetapkan boleh memohon kepada Kerajaan Selangor bagi mendapatkan Lesen Pendudukan Sementara (TOL).

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri boleh mempertimbangkan permintaan itu, namun peneroka perlu membayar premium pada kadar yang ditetapkan.

Bagaimanapun, TOL tidak akan diberikan keatas tanah rizab sungai mahupun parit.

“Kerajaan Negeri boleh pertimbangkan kerana ada dasar rakyat yang sudah teroka tanah lebih dari tempoh ditetapkan.

“Mereka boleh mohon untuk mendapat hak milik tanah tetapi perlu bayar premium, (kalau boleh bayar) kita berikan.

“Tapi kalau tanah rizab sungai atau parit (hak milik) tak boleh diberikan, Kerajaan Negeri hanya boleh pertimbangkan kalau ia tanah negeri,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Azmin (PKR-Bukit Antarabangsa) berkata tiada klausa yang membenarkan mana-mana kediaman dibina di atas tanah TOL memandangkan ia pendudukan sementara dan bagi mengelakkan berlakunya masalah pembangunan di atas tanah berkenaan.

“Masalah yang kita hadapi adalah bila peneroka ini diberikan TOL, dalam tempoh beberapa bulan mereka dijanjikan untuk mendapat hak milik khususnya semasa Pilihan Raya Umum (PRU).

“Kita tidak mahu rakyat dipermainkan dan andaian bahawa mereka akan dapat hak milik beri masalah kepada kerajaan negeri,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.