Categories
SELANGOR

MB: RM10 juta Dana Sel sasar 15,000 rumah mampu milik

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 4 DIS: Sebanyak 15,000 rumah mampu milik (RMM) disasar dibina dalam masa dua tahun dengan peruntukan permulaan RM10 juta melalui Skim Pembiayaan Perumahan Selangorku (Dana-Sel).

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, Skim Dana-Sel itu dengan pendekatan sewa dan milik bertujuan membantu peneroka dan miskin bandar memiliki kediaman sendiri.

Pelancaran Dana-Sel MB (ASRI) (6)Katanya, peruntukan itu disalurkan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bagi pelaksanaan skim itu bermula 2015.

“Saya tidak maksudkan jumlah itu mencukupi, sekurang-kurangnya ada usaha ditunjukkan kerana program perumahan PR1MA anjuran Kerajaan Pusat masih tidak jelas kejayaannya dan berdepan cabaran kos tanah dan masalah pengurusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skim Pembiayaan Perumahan Selangorku (Dana-Sel) di sini, hari ini.

Sebagai permulaan, projek Rumah Kos Rendah (PKR) Ukay Indah, Sungai Sering dan RKR Pangsapuri Rimba dipilih sebagai projek perintis melibatkan 220 keluarga peneroka bandar.

Bagi fasa pertama dilancarkan pada hari ini, seramai 42 peserta terdiri daripada 22 peserta daripadanya dari Ken Rimba, Bandar Rimba Jaya dan bakinya 20 peserta dari Sungai Sering, Hulu Langat.

Manakala selebihnya dilaksanakan secara berperingkat menjelang tahun hadapan.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata pengenalan Dana-Sel seperti diumumkan dalam Belanjawan Selangor 2015 lalu, bukti keprihatinan Kerajaan Pakatan Rakyat dalam isu perumahan rakyat.

“Kos hartanah di Kuala Lumpur melonjak tinggi menyebabkan pemaju berhijrah ke Selangor.

“Jadi kesempatan ini diraih peluang dengan memastikan tanah di Selangor dibangunkan secara kerjasama antara pemaju swasta dan anak syarikat Kerajaan Negeri,” katanya.

Semua peserta di bawah Skim Dana-Sel diberikan rumah kos rendah untuk disewa dan seterusnya memiliki rumah itu setelah mencapai tempoh matang penyewaan mengikut terma dan syarat perjanjian sewa dan milik.

Sepanjang tempoh penyewaan, peserta perlu menjelaskan bayaran sewa bulanan dan lain-lain bayaran seperti caj pengurusan, cukai tanah, cukai pintu, insurans kebakaran serta bil-bil utiliti yang lain.

Selain itu, peserta juga tidak dibenarkan menyewa unit mahupun bilik di dalam unit itu kepada pihak ketiga.

Sekiranya peserta melunaskan semua bayaran dan tidak mempunyai tunggakan, rumah itu akan dipindah milik kepada individu berkenaan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.