Categories
SELANGOR

MB: Selangor dan Kementerian Kesihatan berganding bahu perangi denggi

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 DIS: Kerajaan Selangor dan Kerajaan Pusat sepakat untuk tingkatkan kerjasama bagi memerangi wabak denggi dan pembiakan nyamuk Aedes yang semakin membimbangkan.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata statistik 2014 menunjukkan pertambahan hampir 30,000 kes dilaporkan berbanding tempoh masa tahun lepas.

kesihatan5Katanya, keadaan itu mengundang keprihatinan Kementerian Kesihatan untuk sama-sama meneliti langkah proaktif menangani denggi.

“Masalah ini mesti diselesaikan dan punca serta pencegahan menjadi keutamaan dengan program kebersihan diberi perhatian.

“Kerajaan Negeri sejak dua bulan lalu juga memberi perhatian khusus kepada aspek ini terutama pembersihan sisa pepejal dengan perbelanjaan tambahan RM32 juta yang disalurkan ke semua pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam sidang media hari ini.

kesihatan1Terdahulu beliau menerima kunjungan hormat Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Hadir sama ialah Exco Kesihatan, Dr. Daroyah Alwi dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Farida Mohd Ali serta wakil-wakil jabatan serta PBT.

Mengulas pertemuan kali ini, Subramaniam berkata agenda utama tertumpu kepada usaha mengawal kebersihan persekitaran Selangor.

“Keperluan kerjasama tiga peringkat kerajaan penting bagi mengawal kebersihan persekitaran.

“Harap kita boleh lihat perubahan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Selangor, daerah dan PBT seterusnya mengurangkan jumlah kes,” katanya pula.

Dilaporkan setakat 29 November 2014, sebanyak 48,691 kes denggi dilaporkan dengan 70 kematian direkodkan di Selangor.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.