Categories
SELANGOR

MBSA amal perbelanjaan berhemah, utamakan khidmat perbandaran & pembangunan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sentiasa mengamalkan perbelanjaan berhemah dan mengutamakan perkhidmatan perbandaran serta pembangunan.

Timbalan Pengarah Korporatnya, Shahrin Ahmad berkata, prinsip itu selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang memberi tumpuan kepada kedua-dua aspek berkenaan.

mbsaKatanya, MBSA juga sentiasa komited bekerja bagi memberi keselesaan dan kesejahteraan masyarakat khususnya yang tinggal di bawah pentadbirannya.

“Kita sentiasa amalkan perbelanjaan bijak dengan tumpuan kepada perkhidmatan seperti kutipan sampah domestik, pembersihan awam, penyelenggaraan infrastruktur seperti lampu jalan, kesihatan dan sebagainya.

“MBSA juga memberi fokus kepada aspek pembinaan seperti pembinaan pasar di Taman Seri Muda, menaik taraf gerai di Seksyen U10, 15 dan 19 selain menaik taraf terminal bas di Seksyen 17,” katanya kepada Selangor Kini.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah mengumumkan Kerajaan Negeri akan mengkaji dan melihat belanjawan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.

Katanya, kajian itu bagi membolehkan pelarasan dilakukan mengikut kesesuaian dan keperluan setiap agensi dengan memastikan projek berkepentingan awam didahulukan melalui peruntukan yang disediakan.

“Ia perlu bersesuaian dengan keperluan dan fungsi PBT bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Jumlah rizab kewangan semua PBT di Selangor selepas mengambil kira liabiliti semasa berdasarkan Penyata Kewangan 2013 dan diaudit adalah RM627.53 juta.

Laporan berkenaan mencatatkan jumlah pemilikan tunai dan simpanan bank RM209.59 juta, simpanan tetap (RM1,511.71 juta) serta liabiliti semasa (RM1,093.77 juta).

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.