Categories
SELANGOR

MBSA anjur Kem Motivasi dedah latihan survivor

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 4 DIS: Sempena musim cuti persekolahan, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memberi peluang kepada 40 anak-anak yatim dan kurang berkemampuan menyertai kem motivasi baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Korporatnya, Shahrin Ahmad berkata, program Kem Peningkatan Motivasi dan Kepimpinan itu diadakan di dua lokasi berlainan iaitu di Taman Sukan Lasak, Seksyen 13, Shah Alam dan Teratak Riverview, Hulu Bernam, Selangor.

MBSA kem motivasiKatanya, perbelanjaan program ditanggung sepenuhnya pihak MBSA melibatkan kanak-kanak dan remaja dari Projek Perumahan Kos Rendah Hicom, Seksyen 26, Shah Alam.

“Program seperti ini memberikan pendedahan dan latihan survivor kepada peserta yang berusia antara 9 hingga 17 tahun untuk menghadapi cabaran masa hadapan sekiranya perlu berhadapan dengan situasi yang memerlukan mereka untuk berdikari.

“Selain itu, program seperti ini juga mampu membina semangat, jati diri dan melahirkan generasi bersifat pemimpin serta berkeyakinan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Aktiviti lain sepanjang program dua hari itu termasuk ‘Experiental Learning’, kelas asas ikatan simpulan tali, ‘Wall Climbing’, ‘Flying Fox’, latihan memanah, ‘Jungle Tracking’, latihan ikhtiar hidup, latihan bacaan kompas, ‘Amazing Race’ dan pelbagai lagi.

Tambah Shahrin, program ini juga bertujuan melahirkan modal insan yang mantap dari segi jasmani, emosi, rohani dan berintelaktual dalam menyelesaikan tugasan serta cabaran yang diberikan dalam setiap aktiviti yang disediakan.

“Ini merupakan usaha berterusan MBSA untuk memperbanyakkan lagi aktiviti berbentuk rekreasi dan riadah di kawasan pentadbiran MBSA.

“Pada masa yang sama mendidik serta mendedahkan tentang informasi berguna kepada kanak-kanak dan remaja untuk melahirkan generasi yang sihat dan cergas, di samping diuji dari segi komitment, kesabaran dan kerjasama secara berpasukan,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.