Categories
SELANGOR

MBSA juara pertandingan Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) Kebangsaan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terus cemerlang apabila berjaya menjuarai pertandingan Konvensyen Kumpulan Inovatif  Dan Kreatif (KIK) Perkhidmatan Awam Peringkat Kebangsaan Kali Ke-31, baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Korporatnya, Shahrin Ahmad berkata, MBSA berjaya merangkul juara apabila menerima Anugerah Ketua Setiausaha Negara melalui kategori Pengurusan dengan tajuk projek ‘Hasil Penswastaan Tempat Letak Kereta Kurang Memberangsangkan’.

Katanya, MBSA berjaya mengalahkan 12 kumpulan lain dari seluruh negara yang menyertai konvensyen itu bagi kategori pengurusan.

mbsa“Ini adalah kesinambungan kepada kejayaan di peringkat negeri, baru-baru ini. Penerimaan anugerah bertaraf kebangsaan ini menjadi penyuntik semangat kepada warga MBSA untuk menjadi kreatif, efisyen dan cekap dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat khususnya warga Shah Alam,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis penyampaian anugerah itu disempurnakan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal yang berlangsung di Hotel Renaissance Johor Bahru, pada 4 Disember lalu.

MBSA-Shahrin AhmadSebelum ini, pasukan KIK MBSA berjaya memperoleh tempat pertama dalam Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Kali Ke-27 peringkat Selangor bertempat di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, pada 3 Oktober lalu.

KIK diadakan bertujuan mengenalpasti masalah, menganalisa dan menggunakan kreativiti setiap peserta seterusnya mencadangkan penyelesaian yang inovatif terhadap masalah bagi memenuhi kepuasan pelanggan dan kepentingan orang ramai.

Selain itu, KIK juga diadakan bagi memupuk semangat berpasukan di dalam jabatan, mewujudkan kerjasama, mengasah kemahiran mencipta di kalangan warga kerja organisasi serta melahirkan pekerja yang kreatif dalam menghasilkan penyelesaian bagi sesuatu masalah yang timbul dalam segi teknikal atau perkhidmatan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.