Categories
SELANGOR

MPAJ: RM10 juta projek baiki cerun di DUN Teratai

SHAH ALAM 11 DIS: kos pembaikan kekal bagi semua projek kerja penstabilan kekal cerun batuan di DUN Teratai dianggarkan RM10 juta, hasil peruntukan bantuan pinjaman Kerajaan Selangor kepada Majlis Perbadaran Ampang Jaya (MPAJ).

Pegawai Komunikasi Korporat MPAJ, Norhayati Ahmad berkata, kerja penstabilan secara kekal bagi cerun batuan di kawasan Taman Bukit Permai dianggarkan bernilai RM2.5 juta dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

mpajMenurutnya, tender bagi projek itu mula dibuka pada awal tahun depan, setelah kerja kajian dan reka bentuk penstabilan selesai.

“Terdapat laporan diterima berkaitan batu-batuan yang jatuh di Pangsapuri Intan, Taman Bukit Permai. Ia merupakan batuan longgar pada cerun batuan.

“Lokasi itu sedang dalam kerja kajian dan reka bentuk penstabilan cerun pada ketika ini dengan kos sebanyak RM350,000. Kerja kajian ini dijadualkan akan selesai akhir tahun ini,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, selain Pangsapuri Intan, terdapat tiga lokasi lain yang sedang dalam kajian penstabilan cerun iaitu cerun batuan di sepanjang Jalan Bukit Permai; di Medan Bukit Permai, Taman Bukit Permai dan di Jalan Mega 5 dan 3, Taman Mega.

“Bahagian Cerun MPAJ dari semasa ke semasa memantau keadaan cerun berisiko bagi mengambil tindakan pencegahan untuk mengelakkan kejadian runtuhan tanah,” katanya.

Beliau berkata, selain daripada peruntukan pinjaman kerajaan negeri, MPAJ juga membelanjakan sebanyak RM1.7 juta bagi melaksanakan kerja pengukuhan cerun menggunakan peruntukan MPAJ sendiri.

“Selain itu, sebanyak RM3 juta lagi dibelanjakan bagi melaksanakan penyelenggaraan rutin cerun-cerun yang berada di dalam kawasan pentadbiran MPAJ,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.