Categories
NASIONAL

Nurul Izzah: Halang MP Pakatan masuk pejabat UM cabul demokrasi

KUALA LUMPUR 16 DIS: Lima Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dihalang masuk ke pejabat Naib Canselor Universiti Malaya (UM) bagi menyerahkan petisyen membantah hukuman ke atas lapan pimpinan mahasiswa universiti itu (UM8).

Ahli Parlimen itu adalah Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai), N Surendran (Padang Serai), Khalid Samad (Shah Alam), Teresa Kok (Seputeh) dan Sim Tze Tzin (Bayan Baru).

Nurul Izzah yang juga Naib Presiden KEADILAN berkata, kedatangan mereka pada hari ini diberitahu lebih awal dan sepatutnya tidak berlaku demikian.

“Saya selaku Ahli Parlimen setempat menelefon memaklumkan awal menyatakan hasrat kami memberi petisyen dengan hormat. Tidak ada alasan pihak keselamatan terpaksa berbuat demikian.

“Saya terkejut kerana Ahli Parlimen tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan. Halangan ini menunjukkan budaya yang tidak menghormati demokrasi dan juga sivil,” katanya dipetik Keadilan Daily.

Kata Nurul Izzah, hukuman ke atas tujuh pelajar terlibat dibuat berlandaskan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia kerana mencabuli hak kebebasan bersuara.

Oleh itu mereka mendesak agar tindakan tatatertib yang dikenakan itu ditarik balik.

“Kami sekali lagi mendesak agar tindakan tatatertib dikenakan kepada pelajar dalam pendakwaan berkait dengan acara pada 27 Oktober lalu itu ditarik balik oleh pihak universiti.

“Tindakan partisan ini menimbulkan persoalan ke atas kebebasan dan profesionalisme UM,” katanya.

Beliau mempersoalkan sebelum ini beberapa pemimpin Umno dibenarkan masuk dan berucap di dalam universiti sebaliknya pemimpin Pakatan dikenakan tindakan.

Petisyen yang ditandatangani oleh 42 MP Pakatan itu diserahkan kepada wakil Naib Canselor kerana beliau dikatakan bekerja di luar kawasan.

Nurul Izzah juga meminta agar Naib Canselor sendiri memberi respon terhadap kandungan petisyen tersebut.

“Kita tuntut supaya Naib Canselor sendiri menjawab dan memberi respon secepat mungkin kerana kita mahukan profesionalisme,” jelas beliau.

UM menggantung pengajian bekas Presiden PMUM, Fahmi Zainol selama dua semester dan denda RM600.

Seorang lagi pelajar, Safwan Shamsuddin didenda RM300 dan digantung satu semester dan empat yang lain diberi amaran dan didenda RM150 setiap seorang, manakala seorang lagi pelajar dilepaskan dengan amaran.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.