Categories
SELANGOR

Pakej tunai umrah untuk Penolong Pendaftar Nikah

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 DIS: Penolong Pendaftar Nikah (PPN) di Selangor berpeluang menikmati hadiah galakan berupa pakej menunaikan umrah bermula tahun hadapan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata Kerajaan Negeri sedia menimbang mereka yang layak menyertai program sedia ada, Lambaian Kaabah.

Katanya, program berkenaan sebelum ini khusus diadakan bagi memberi peluang kepada golongan pendidik seperti guru agama untuk ke Tanah Suci Mekah.

“Untuk tahun ini tidak sempat kerana kita sudah memilih kesemua 60 penerima program, jadi untuk tahun depan insyaAllah kita akan masukkan PPN.

“Mereka yang terpilih semestinya perlu memenuhi beberapa kriteria dan penilaian yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian penutup Program Muzakarah Penolong Pendaftar Nikah (PPN) Negeri Selangor di Intekma Resort & Convention Center, tengah hari tadi.

Hadir sama dalam majlis yang disertai lebih 300 orang itu PPN ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ahmad Zaharin Mohd.

Terdahulu, Zaharin dalam ucapannya mohon agar hadiah galakan diberikan kepada PPN selain turut diberikan elaun bulanan sepertimana pernah disyorkan mantan Menteri Besar sebelum ini.

Mengulas cadangan elaun itu, Yunus berkata beliau akan membawa perkara berkenaan untuk pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat.

“Kita mengharapkan akan ada keputusan positif berhubung cadangan yang dikira amat baik itu,” katanya lagi.

Sehingga Disember tahun ini, terdapat seramai 391 orang PPN di Selangor dengan 9 orang bergelar Pendaftar Kanan dan 46 orang merupakan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian & Rujuk.

Leave a Reply

Your email address will not be published.