Categories
SELANGOR

Pameran permainan antik serata dunia sehingga 31 Disember ini

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 DIS: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) menganjurkan “Pameran Nostalgia Permainan Kanak-kanak: Keseronokan Bermain dan Berfikir” sempena cuti persekolahan bermula 4 November hingga 31 Disember ini.

Pegawai Komunikasi Korporat, Farhani Shamsudin berkata, antara tarikan menarik pameran yang diadakan di Muzium Sultan Alam Shah itu adalah kira-kira 1000 koleksi alat permainan antik yang dihasilkan sekitar tahun 1919 hingga 1970-an.

IF8A3711Katanya, semua alat permainan yang dipamerkan adalah koleksi peribadi seorang peminat barangan antik, Mohamad Mohd Taib yang dikumpul, sejak 35 tahun lalu.

“Objektif utama penganjuran pameran ini adalah bagi mempamerkan keunikan alat permainan antik yang jarang-jarang sekali dapat diperolehi di Malaysia yang mana kebanyakannya didatangkan dari negara luar seperti Belanda, German, Belgium, dan England dan lain-lain.

“Antara tarikan utama pameran ini adalah alat permainan gerabak keretapi lama yang dihasilkan sebelum perang dunia ke-2 serta koleksi landasan keretapi miniatur yang disusun seolah-olah seperti laluan keretapi yang terdapat di sebuah pekan kecil dilengkapi dengan gerabak dan stesen keretapi, bangunan, pokok, kereta dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan.

Pameran itu adalah sebahagian daripada program sempena sambutan 25 tahun Muzium Sultan Alam Shah dan ia mensasarkan kunjungan daripada masyarakat umum terutamanya golongan kanak-kanak dan pelajar.

IF8A3720Pameran itu dibahagikan kepada beberapa bahagian mengikut kategori alat permainan iaitu bangunan minatur, gerabak dan kepala keretapi, kenderaan seperti kereta klasik, lori, motorsikal, basikal dan bot.

“Selain itu, terdapat juga koleksi anak patung, alat permainan di dalam rumah, komponen enjin dalam permainan, alat telekomunikasi dan lain-lain,” katanya.

Untuk maklumat lanjut berkenaan pameran itu, orang ramai boleh boleh lawati laman sesawang  PADAT di www.padat.gov.my atau hubungi unit korporat PADAT di 03-55190050.

Leave a Reply

Your email address will not be published.