Categories
SELANGOR

PAS cadang Selangor bina Masjid Cina tri-fungsi

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 1 DEC: Kerajaan Negeri dicadang membina masjid dengan ciri-ciri kebudayaan etnik Cina bagi memenuhi keperluan penganut agama Islam dari etnik itu.

Mohd Shafie Ngah (PAS-Bangi) berkata jumlah penganut Islam dari etnik Cina di Selangor bukan sedikit, tetapi Melaka, Johor dan Perak mendahului dalam penyediaan kemudahan seperti itu.

“Masjid yang mempunyai ciri-ciri senibina Cina ini kemudiannya diuruskan oleh Siak, Bilal dan Imam yang juga merupakan Cina Muslim.

“Ia adalah penting untuk memecahkan stigma atau kefahaman bahawa Islam itu milik Melayu dan Melayu itu milik Islam,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Shafie berkata sekiranya masjid berciri Cina ini berjaya dibina, maka lebih ramai pelancong dalam dan luar negeri akan tertarik untuk berkunjung ke negeri Selangor.

“Tidak cukup hanya dengan Masjid Negeri yang besar, kita perlu melangkah ke hadapan untuk membina sebuah masjid yang berciri (Cina) itu.

“Bangsa Cina adalah bangsa yang perlu dihormati,” katanya lagi.

Katanya setakat ini lokasi yang sesuai untuk pembinaan masjid itu adalah di Pulau Ketam.

Mengulas cadangan itu, Exco Hal Ehwal Agama, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata Kerajaan Negeri tidak menolak untuk membina masjid dengan ciri berkenaan sebagai memenuhi keperluan masyarakat Cina Muslim.

Bagaimanapun katanya beberapa aspek perlu dikaji untuk membolehkan Kerajaan Negeri memberi peruntukan bagi pembinaan sesebuah masjid.

“Mungkin ada keperluan masyarakat Cina muslim tetapi pembinaan ini mempunyai matlamat sebagi pusat transformasi masyarakat.

“Kita tidak menolak untuk mendirikan masjid itu bagi dijadikan pusat lawatan dan kita ambil cadangan yang boleh kita fikirkan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.