Categories
SELANGOR

PBT akan lebih aktif giatkan potensi pelancongan Selangor

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 1 DEC : Pembangunan potensi pelancongan di Bukit Broga antara pelbagai inisiatif menjadikan Selangor negeri tarikan pelancong, kata Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dipertanggungjawabkan menaik taraf kemudahan maklumat di kawasan-kawasan berpotensi tinggi seperti Bukit Broga, bermula tahun hadapan.

Bagi mengatasi impak kemasukan pelancong ke kawasan hijau seperti Bukit Broga, Kerajaan Negeri bercadang mengadakan kempen pemeliharaan flora.

“Dalam konteks Bukit Broga, Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor telah mempromosikan kawasan ini sebagai sebuah tempat pelancongan di dalam laman web rasmi, media sosial dan pelbagai saluran media lain.

“MPKj pula telah menjadikan kawasan ini sebagai produk pelancongan Hulu Langat dan turut dimasukkan dalam laman web rasmi mereka,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini, menjawab pertanyaan mulut daripada Datuk Johan Abdul Aziz (BN-Semenyih).

Mengulas syarat-syarat menaik taraf sesebuah kawasan sebagai tempat pelancongan, Elizabeth berkata Kerajaan Negeri bersama pihak Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Tourism Selangor akan memastikan produk pelancongan berkenaan memenuhi beberapa faktor dan kriteria.

Antaranya, kemudahan infrastruktur asas perlu disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan memiliki kemudahan jalan dan akses yang baik.

“Selain itu, tempat berkenaan perlulah mempunyai nilai komersial untuk menggambarkan x-factor dan keunikan yang menjadi tarikan orang ramai serta kaedah promosi yang dijalankan,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.