Categories
SELANGOR

Penduduk Hulu Bernam terkejut banjir kilat, terburuk sejak 8 tahun

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA KUBU BHARU, 3 DIS: Kejadian banjir kilat di beberapa kampung di Hulu Bernam, dekat sini, mengejutkan penduduk hingga menyebabkan mereka terpaksa dipindahkan di pusat pemindahan sementara di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kampung Gesir Tengah, di sini, sejak malam kelmarin.

Hujan lebat kira-kira jam 4.30 petang itu menyebabkan air naik dengan pantas memasuki kawasan rumah penduduk hingga menyebabkan 192 orang daripada 58 keluarga ditempatkan di pusat berkenaan.

interview AHaris Bahar, 35, berkata, kejadian banjir itu adalah yang terburuk dalam tempoh kira-kira lapan tahun lalu.

“Air naik pantas hingga membasahi kawasan dalam rumah dan sukar untuk menyelamatkan barangan keperluan yang ada. Kira-kira jam 8 malam, Jabatan Bomba dan Penyelamat mengarahkan kami pindah ke pusat ini,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Bapa dua anak yang tersenarai sebagai salah seorang penerima sumbangan Kerajaan Negeri bernilai RM500 dari Kampung Lalang itu berkata, antara barangan yang rosak adalah beberapa perkakas elektrik dan barangan dapur lain.

“Saya terkejut dengan kejadian ini tetapi berharap ia tidak lama supaya kami semua boleh cepat balik ke rumah,” katanya.

interview BSementara itu, Mohd Alias Abdullah Sani, 58, dari Kampung Gesir Tengah berkata, beliau mengalami kerugian lebih RM6,000 apabila beberapa barangan elektrik dan sebuah motosikal rosak akibat kejadian itu.

“Memang tak sangka kejadian ini berlaku dengan teruk. Barang-barang tak sempat diselamatkan.

“Setakat ini memang kejadian ini yang teruk di sini,” katanya.

Beliau yang turut menerima sumbangan Kerajaan Negeri berharap keadaan akan segera pulih dan tidak berlarutan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.