Categories
SELANGOR

Peserta: Program latihan usahawan PKNS berkesan!

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 17 DIS: Usaha Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyediakan platform dan latihan kepada usahawan muda nyata berbaloi.

Melalui program Graduate Realising Opportunity and Way Forward (GROW), Mohd Fakaruddin Yusoff 27, mampu meraih jualan hampir setengah juta ringgit hasil perniagaan makanannya.

Katanya, GROW banyak memberi peluang kepadanya menimba ilmu perniagaan terutama mengenai kepentingan pengurusan kewangan.

“Kita diberi banyak pendedahan yang sukar kita perolehi di luar, contohnya, kita diberikan kursus pengurusan kewangan yang sememangnya penting dalam sesuatu perniagaan.

DSC_3342

“Alhamdulillah saya kini dapat mengusahakan sendiri perniagaan cafe dan berharap dapat membuka cawangan lain pada masa hadapan,” katanya selepas majlis graduasi GROW 2014 di Bangunan Bizpoint, petang tadi.

Majlis yang disempurnakan Pengurus Besar PKNS, Azlan Alifiah itu menyaksikan Fakaruddin menerima anugerah graduan cemerlang dengan nilai jualan tertinggi.

Beliau kini mengusahakan Fafa Cafe Restaurant & Catering yang terletak di Dataran Cendekia UiTM Shah Alam dengan bantuan 10 pekerja.

Program GROW terbuka kepada graduan pemegang diploma dan ijazah di bawah usia 30 tahun untuk mengikuti latihan teori aspek perniagaan termasuk pemasaran, pengurusan kewangan dan jati diri usahawan.

Sementara itu, seorang lagi graduan GROW, Mohd Badrul Amril Biduzodin 29, mengingatkan rakan-rakan lagi terutama para graduan untuk menceburi dan merebut peluang dalam bidang keusahawanan.

“Sekarang banyak peluang yang disediakan sepertimana platform di PKNS, jadi jangan malu dan segan untuk rebut.

“Kita mesti berani, fokus dan mempunyai keyakinan tinggi serta berdaya saing dalam apa jua bidang yang kita ceburi,” katanya yang kini selesa menceburi bidang kejuruteraan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.