Categories
SELANGOR

Program Adun Muda Selangor serlah bakat jadi wakil rakyat

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 16 DIS: Program Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Muda Selangor anjuran Kerajaan Negeri berjaya menyerlahkan bakat serta kebolehan golongan belia untuk berhujah ala wakil rakyat di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Program anjuran pejabat Speaker DNS itu menampilkan golongan muda pelbagai peringkat usia mewakili pihak kerajaan (Pakatan Rakyat) dan pembangkang (Barisan Nasional) dengan membawa pelbagai usul berkaitan generasi belia antaranya pendidikan, keusahawanan, kerjaya termasuk isu semasa.

adun-mudaSesi perbahasan itu dikendalikan Speaker, Hannah Yeoh berdasarkan tatacara dan peraturan sebenar di dalam dewan.

Menariknya, setiap peserta menggunakan ruang yang ada dengan membahaskan cadangan serta usul masing-masing mengikut masa ditetapkan dengan pemantauan secara teliti oleh Speaker.

Meskipun terdapat beberapa ‘lompong’ berikutan beberapa peraturan tidak dipatuhi sepenuhnya, namun para peserta yang terlibat berusaha sebaik mungkin untuk berhujah secara profesional.

Dewan juga adakalanya gamat dengan tepukan meja dari pihak kerajaan serta pembangkang apabila sesuatu usul dibahaskan dan sesi pencelahan sewaktu berhujah menambah warna kepada program ini.

Melalui program ini mahasiswa dan mahasiswi berupaya meningkatkan pemikiran kritis berhubung polisi kerajaan selain berpeluang mengenali Adun Selangor dengan lebih dekat dan memahami peranan mereka.

Program ini terbuka kepada para pelajar dalam lingkungan umur antara 18 hingga 24 tahun daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS), badan bukan kerajaan (NGO), penggerak belia tempatan (PeBT) serta persatuan mahasiswa.

Seramai 56 orang anak muda akan dipilih untuk menyertai program ini dan mewakili setiap kawasan DUN dalam DNS.

Program Adun Muda Selangor 2013 berjaya diperkenalkan buat kali pertama di Selangor pada tahun lepas dengan penyertaan daripada 30 peserta dari seluruh negeri.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.