Categories
SELANGOR

Punca air hitam misteri di Bagan Sungai Buloh belum dikenalpasti

Oleh AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 DIS: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor Cawangan Sabak Bernam memaklumkan pihaknya telah beberapa kali menerima aduan air berwarna hitam dan berbau busuk di Sungai Buloh, Jeram.

Ketua Cawangan JAS Sabak Bernam, Kamilah Wan Zaid berkata, hasil pemeriksaan ke atas premis yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 mendapati tiada pelepasan efluen berwarna hitam pernah ditemui semasa pemeriksaan.

image“Pihak JAS telah membuat pemeriksaan ke atas kilang-kilang sekitar dan mendapati kilang adalah patuh kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Menurut Kamilah, Data Pengawasan Kualiti Air Sungai Buloh menunjukkan kualiti air Sungai Buloh secara umumnya berada dalam Kelas III dan kini terdapat sedikit peningkatan kualiti air sungai.

Jelasnya, kualiti air di Sungai Buloh berada pada Kelas III sejak tahun 1995 lagi dan kejadian air Sungai Buloh berwarna hitam akan terjadi hampir setiap tahun dan punca kejadian ini tidak dapat dikenalpasti.

Faktor yang boleh menyumbang kepada kejadian air sungai berwarna hitam adalah daripada proses pereputan bahan organik terutamanya di kawasan tanah gambut.

Sebelum ini, beberapa nelayan di Bagan Sungai Buloh mengeluh ekoran keadaan air sungai yang hitam serta berbau busuk sehingga mengakibatkan hasil kerang berkurangan dan mati.

JAS berpendapat kajian wajar dijalankan bagi menentukan kesesuaian penternakan kerang dijalankan di situ.

Leave a Reply

Your email address will not be published.