Categories
SELANGOR

RM2.5 juta naik taraf Kolam Air Panas Selayang

Oleh : AFEEQA AFEERA

SELAYANG, 13 DIS : Kolam Air Panas Selayang bakal menerima wajah baru melalui proses naik taraf dan penambahbaikan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bermula Februari tahun depan.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan bagi tujuan itu. Beliau berkata kerja naik taraf dan tambah baik itu akan memakan masa kira-kira setahun setengah.

IMG_1120“Sudah sampai masanya untuk pihak MPS melaksanakan penambahbaikan bagi memastikan kolam air panas ini mampu menjadi mercu tarikan pelancong di negeri Selangor.

“Cadangan saya adalah pihak MPS perlu memperbanyakkan, memperluaskan atau membina kolam air panas lain yang lebih besar, di samping meletakkan landskap yang menarik kerana ia adalah aset negeri yang perlu dijaga dengan baik dan dijadikan lebih semulajadi,” katanya ketika merasmikan Karnival Kolam Air Panas Selayang 2014 peringkat MPS, hari ini.

Dalam pada itu, Daroyah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa, berkata penganjuran karnival berkenaan seharusnya dicontohi PBT lain bagi menarik lebih ramai pengunjung khususnya warga tempatan untuk menikmati kemudahan kolam air panas.

Selain tujuan riadah, beliau turut menggalakkan pengunjung untuk menikmati khasiat dan manfaat daripada kolam air panas yang mampu merawat pelbagai jenis penyakit antaranya sakit kulit, migrain dan sebagainya.

“Pengunjung diharapkan dapat memanfaatkan kemudahan yang telah dibina, dibangunkan dan dinaiktaraf bagi tujuan sukan, riadah dan rekreasi bagi kesihatan.

“Besar harapan Kerajaan Negeri jika MPS dapat menjadikan karnival ini sebagai acara tahunan dan terus meningkatkan aktiviti promosi kolam air panas ini kepada pengunjung,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.