Categories
SELANGOR

Speaker: Segera namakan Ketua Pembangkang baru, pastikan peranan berfungsi

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 8 DIS: Barisan Nasional (BN) Selangor perlu segera menamakan Ketua Pembangkang baru bagi menggantikan peranan Datuk Mohd Shamsudin Lias yang meletakkan jawatan, hari ini.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh berkata, hal itu bagi memastikan pentadbiran DNS berjalan lancar selain memastikan peranan semak dan imbang berfungsi.

DNS wide 01“BN perlu menamakan salah seorang Adun BN sebagai Ketua Pembangkang supaya mereka dapat melaksanakan tugas dan memainkan peranan dalam pentadbiran DNS secara efektif dan berkesan demi rakyat,” katanya.

Hannah berkata demikian dalam sidang media berhubung isu perletakan jawatan Ketua Pembangkang di pejabatnya, hari ini.

Hannah berkata, pihaknya menerima surat dan kunci kereta rasmi pagi tadi dan menghormati keputusan Adun Sungai Burong itu.

“Saya terima dan menghormati keputusan beliau walaupun saya tidak faham mengapa keputusan seperti itu dibuat.

“Namun, saya ucapkan terima kasih atas perkhidmatan beliau sebagai ketua pembangkang sejak Jun 2013,” katanya.

Shamsudin mengambil keputusan melepaskan peranannya sebagai Ketua Pembangkang selepas menolak pelantikan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa PAC Selangor.

Beliau juga memulangkan semula kereta Toyota Camry yang diberikan Kerajaan Negeri.

Hannah berkata, tidak timbul isu berat sebelah dan membelakangi semangat demokrasi dalam komposisi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan (PAC) seperti yang didakwa Shamsudin.

Katanya, keputusan Peraturan Tetap yang diputuskan DNS melantik Ketua Pembangkang sebagai Pengerusi PAC dengan komposisi seperti itu selari amalan diguna pakai parlimen negara komanwel.

“Peraturan Tetap 72 (1) bagi Peraturan-peraturan Tetap DNS secara nyata memperuntukkan komposisi ahli bagi setiap Jawatankuasa Pilihan harus membayangkan kadar parti masing-masing di dalam dewan.

“Amalan yang sama diguna pakai negara komanwel seperti Australia, United Kingdom, India dan New Zealand,” katanya.

Bagaimanapun, Hannah yakin kepimpinan BN Selangor mampu mencari calon yang sesuai dan layak bagi menggalas jawatan Ketua Pembangkang.

“Saya percaya, dalam kalangan 12 Adun BN, mesti ada seorang yang layak dan sudi untuk jadi Ketua Pembangkang,” katanya sambil menambah sidang DUN pada Mac  2015  masih boleh diteruskan tanpa Ketua Pembangkang.

Namun, situasi itu akan membantutkan kelancaran dewan.

“Jika itu berlaku, BN Selangor perlu menjawab kepada rakyat kerana mereka  dibayar untuk menjalankan kerja kita dalam DNS,” kata Adun Subang Jaya itu.

Beliau turut memuji beberapa Adun BN lain yang selama ini komited menjalankan tanggungjawab dalam Jawatankuasa Pilihan.

Antara yang disebut Hannah adalah Adun Permatang (Sulaiman Abdul Razak) dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) dan Adun Dengkil (Shahrum Mohd Shariff) dalam Jawatankuasa Pilihan Agensi Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JPABAS).

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.