Categories
SELANGOR

Sultan: Pastikan ajaran sesat dibanteras, salurkan maklumat

Oleh: Naeem Raffi

KUALA SELANGOR, 5 DIS: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan agar setiap penceramah dan tenaga pengajar di masjid dan surau memiliki tauliah diiktiraf.

Baginda Sultan bertitah demikian bagi memastikan aktiviti di institusi agama bebas daripada penyebaran dan penularan ajaran sesat.

Sultan Rasmi Masjid di Pekan Jeram (2)“Beta menegaskan agar Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memastikan garis panduan ditetapkan dipatuhi,” Titah Baginda pada majlis perasmian masjid Ar- Ridhuan, Pekan Jeram di sini sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-69.

Turut mengiringi Baginda Sultan, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Kerajaan Selangor, Mohamed Khusrin Munawi, Exco Hal Ehwal Agama, Dr Ahmad Yunus Khairi, Mufti, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid serta Pengerusi MAIS, Datuk Seri Mohamad Adzib Mohd Isa.

Pada majlis sama, Baginda Sultan juga diraikan dengan majlis bacaan yaasin, tahlil dan doa selamat sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan Baginda Sultan.

Baginda Sultan juga berkenan menghadiri majlis santapan bersama jemaah di perkarangan masjid seusai menunaikan Fardu Jumaat.

Dalam pada itu, Baginda Sultan turut menggesa masyarakat peka dan tidak memandang ringan kegiatan ajaran sesat dengan memberi maklumat mengenai pergerakan ajaran itu kepada JAIS.

“Dikhuatiri pengaruh ajaran sesat pada mulanya bergerak secara kecil-kecilan akan berkembang dan sukar dibendung.

“Akibatnya umat Islam berpecah belah, hidup dalam suasana persengketaan dan tidak dihormati oleh masyarakat lain,” titah Baginda Sultan.

Baginda Sultan menyeru seluruh umat Islam mengeratkan hubungan silaturrahim sesama umat dan menggunakan masjid dan surau untuk mencari ilmu.

“Beta menyeru umat Islam lebih bersemangat mengukuhkan persefahaman dan bersatu-padu menangani mempertahankan kesucian agama Islam, bangsa dan negara,” titah Baginda Sultan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.