Categories
SELANGOR

Temasya #Selangor15 padat aktiviti menarik 26 – 31 Disember

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 DIS: Kerajaan Negeri menjemput orang ramai bersama-sama memeriahkan Temasya #Selangor15 pada 26 hingga 31 Disember ini.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, dan Kebudayaan, Amirudin Shari berkata, temasya dianjurkan sempena tiga acara penting dalam Kerajaan Negeri.

Selangor15Katanya, acara-acara itu adalah sambutan Ambang Tahun Baru 2015, sambutan 100 Hari Pentadbiran Dato’ Menteri Besar dan Pelancaran Tahun Melawat Selangor 2015.

“Pelbagai aktiviti direncanakan meliputi aspek kesenian dan kebudayaan, aktiviti sukan serta sesi memperkenalkan para pemain Selangor FA bagi Liga Super 2015.

“Tidak ketinggalan aktiviti mempromosikan pelancongan Selangor yang akan disertai oleh syarikat-syarikat perhotelan dan agensi pelancongan,” katanya dalam sidang media di SACC Mall hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Temasya #Selangor15 akan diadakan di SACC Mall, SACC Convention Centre, Kompleks PKNS Shah Alam, dan kawasan sekitarnya.

“Setiap tempat dipilih berdasarkan inspirasi Kerajaan Negeri untuk menjadikan Shah Alam sebagai Kota Seni yang moden,” katanya lagi.

Antara aktiviti yang dijadual berlangsung termasuk pameran kesenian, pertandingan grafiti, lukisan jalanan dan buskers selain acara Larian SelangorPlus 5 KM dan Pertandingan Muay Thai.

Kemuncak Temasya #Selangor15 merupakan pelancaran Tahun Melawat Selangor 2015 yang akan disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.