Categories
SELANGOR

Terjah depoh pasir haram bongkar pelbagai rahsia

KLANG 9 DIS: Jalan rosak, kacau ganggu daripada habuk dam debu pasir dan paling memeranjatkan, tempat penyimpanan pasir yang mula beroperasi sejak 2010 itu tidak pernah mempunyai kebenaran daripada pihak berkuasa.

Lebih mengejutkan, rata-rata lori pasir yang keluar masuk adalah dari luar negeri dan mereka (pemandu) adakalanya tersesat hingga ke Jalan Bandar Putera sekaligus merosakkan sebahagian jalan di itu.

Azmizam melakukan tinjauan sekitar depoh penyimpanan pasirAhli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Azmizam Zaman Huri yang melakukan lawatan ‘terjah’ bersama Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) MPK turut menjumpai sebuah lagi lokasi yang dijadikan tapak pembuangan sampah haram oleh individu terlibat.

“Isu ini perlu diberi perhatian serius dan semua pihak terutama Pejabat Tanah Dan Daerah Klang harus membuka mata dengan apa yang berlaku agar tidak mendatangkan ancaman kepada penduduk sekitar.

“Malah perkara ini jika dibiarkan berterusan bakal menimbulkan persepsi negatif terhadap Majlis dan Kerajaan Negeri yang begitu komited dalam membanteras sebarang aktiviti haram seperti ini,’ katanya.

Azmizam menjelaskan,MPK telah mengarahkan pihak bertanggungjawab untuk mengosongkan dan memberhentikan aktiviti pengusahaan pasir di atas tanah lot walaupun terdapat rayuan daripada mereka (pengusaha) sebelum ini.

Menurutnya,Majlis tidak pernah mengeluarkan Kebenaran Merancang atas alasan pencemaran,kerosakan dan kacau ganggu kepada persekitaran dan tindakan di bawah Akta 172 juga telah dilakukan di situ.

MPK Terpaksa Keluarkan Kos Baiki Jalan Rosak,Jadi Lokasi Sampah Haram

Kegiatan lori pasir di situ telah mengakibatkan kerosakan teruk kepada sebahagian Jalan Bandar Putera dan menyebabkan Majlis terpaksa menanggung kerugian apabila terpaksa membaiki kerosakan yang berlaku.

Pemandu lori pasir meninggalkan kenderaan masing-masing apabila menyedari kehadiran Azmizam bersama Pasukan Pantas MPKAzmizam berkata,keadaan itu berlaku apabila ada sebahagian pemandu dari luar yang tersesat masuk hingga ke kawasan perumahan terutama pada waktu malam dan menjadi punca kerosakan jalan di situ.

Menurutnya,keadaan bertambah kritikal apabila waktu malam kerana penduduk juga menanggung risiko ‘berhadapan’ dengan lori-lori pasir yang dipandu laju bagi mengelak pihak berkuasa menghidu kegiatan mereka.

“Saya meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD),Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis dapat memantau lori-lori pasir ini kerana ada diantaranya dipandu oleh warga asing.

“Malah muatan yang dibawa juga berlebihan dan merosakkan jalan sekitar perumahan disamping kesalahan lalulintas yang membuatkan penduduk berasa gusar apabila bertembung dengan lori-lori pasir ini,” katanya.

Katanya, lebih mengejutkan wujudnya tapak pembuangan sampah haram berhampiran lokasi di situ dan ia telah menimbulkan masalah terhadap persekitaran termasuk bau busuk,lalat dan ancaman kesihatan terhadap penduduk sekitar.

Menurutnya, isu berkenaan juga mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafie yang mahu masalah ini diselesaikan segera agar ia tidak membawa ancaman kepada masyarakat setempat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.