Categories
KENYATAAN MEDIA

Ucapan Dato’ Menteri Besar sempena Keputeraan DYMM Sultan Selangor ke-69

Assalamualaikum Warahmatulahi Wabarakatuh

Menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan dan Yang Di Pertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya.

Ampun Tuanku beribu – ribu ampun, Sembah patik mohon diampun.

Dengan segala kerendahan diri, menzahirkan setulus kalam dari pancaran mata hati, seikhlas dari denyutan nadi, patik mewakili rakyat negeri merafak sembah dan menjunjung kasih ‘Dirgahayu Tuanku’ kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang bersemayam di singgahsana takhta Negeri Selangor Darul Ehsan, dengan segala kemuliaan dan kebesaran, sempena menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan, yang ke 69.

Patik berdoa ke hadrat Ilahi agar Tuanku dilanjutkan usia dalam keafiatan dan senantiasa berada dalam limpahan rahmat dan maghfirah Allah SWT serta senantiasa dikurniakan kesihatan sepanjang hayat agar dapat rakyat berpayung di bawah naungan Tuanku.

Inderagiri pasirnya lumat,
Kerang berjemur di atas batu;
Bagaimana nabi kasihkan umat,
Begitulah rakyat kasihkan Tuanku.

Patik bersama rakyat bertekad memelihara kemuliaan pemerintahan beraja, ini selaras dengan semangat memperkukuhkan tradisi negeri bersultan, rakyat beraja, tradisi diwarisi turun temurun, agar terus subur dan kekal segar sepanjang zaman, merentas peredaran waktu, merentas peralihan masa.

Peri diriwayatkan perbualan Seri Teri Buana dengan Demang Lebar Daun, muafakat raja dengan rakyat, rakyat setia dengan raja, dan rakyat tidak difadihatkan dan tidak dinista.

Semangat ini berterusan dalam kerangka Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Pakatan Rakyat menjunjung prinsip‐prinsip dasar yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan yang merangkumi kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menjamin kebebasan mengamalkan agama‐agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan menjamin hak bahasa ibunda, kedaulatan Institusi Raja‐Raja Melayu serta kedudukan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak -hak semua kaum yang
telah dijamin oleh Perlembagaan.

Betapa tinggi pucuk pisang,
Tinggi lagi asap api;
Betapa tinggi Gunung Ledang,
Tinggi lagi harap kami.

Di hari gemilang sempena menyambut Ulangtahun Hari Keputeraan Tuanku, rakyat Negeri Selangor sentiasa berharapkan kasihTuanku sebagai payung yang menaungi rakyat jelata. Adapun, mereka mengasihi Tuanku sebagai Raja yang prihatin dan peduli dengan masalah dan kesusahan rakyat.

Kesantunan Tuanku patik rasakan sendiri, tatkala Bukit Antarabangsa dilanda tanah runtuh dalam tahun 2008, Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah sudi berangkat mencemar Duli untuk melihat sendiri keadaan tragedi tanah runtuh dan menyelami kesulitan yang dihadapi oleh rakyat Tuanku di Bukit Antarabangsa yang diwakili oleh patik.

Di bawah naungan Tuanku, Negeri Selangor telah menjadi negeri yang termaju di Malaysia dan menyumbang 23.7% kepada KDNK negara.

Adalah menjadi hasrat patik dan rakyat Negeri Selangor untuk menuju ke arah sebuah negeri seumpama yang diungkapkan oleh Al‐ Quran sebagai ; Sebuah negeri yang makmur lagi mendapat pengampunan dari Allah SWT.

Raja payung tempat bernaung,
Rakyat menyembah taat setia;
Berat beban sama ditanggung,
Negeri berkilau laksana permata.

Ampun Tuanku,

Hari ini genap 80 hari patik menerima amanah dari Tuanku untuk mentadbir Negeri Selangor. Patik dibantu oleh anggota perkhidmatan awam yang berkhidmat dengan amanah lagi profesional berpandukan prinsip urus tadbir yang baik untuk memajukan dan memakmurkan negeri dan rakyat Tuanku.

Mereka rajin dan produktif, laksana bidalan Melayu lama:Belum disuruh sudah pergi, Belum dipanggil sudah datang.

Dengan dukungan Ahli – Ahli Dewan Negeri Selangor, sidang Dewan Negeri Selangor baru –baru ini telah meluluskan belanjawan sejumlah RM2.4 bilion untuk tahun 2015. Belanjawan 2015 mempamerkan satu pendekatan fiskal baru dengan memberi penekanan terhadap belanja pembangunan ditingkatkan kepada 47% berbanding belanja mengurus yang diturunkan kepada 53% sahaja.

Pentadbiran patik memberi jaminan bahawa falsafah pembangunan Negeri Selangor akan berteraskan usaha menjana pertumbuhan berkualiti dan keadilan dalam pengagihan.

Rakyat perlukan rumah, rumah dibina;
Yang mahu jadi sarjana, biasiswa siap tersedia;
Untuk anak muda, Youth City kita bina;
Di mana ada sampah, di situ patik terjah.

Kekayaan negeri tidak dibolot oleh yang kaya sahaja. Sebaliknya, akan diagih dengan saksama. Seperti arahan Ilahi dalam firmanNya:

“Supaya harta itu jangan beredar di antara orang- orang kaya sahaja di kalangan kamu.

Penyair Inggeris Oliver Goldsmith bermadah: Ill fares the land, to hastening ills a prey, Where wealth accumulates, and men decay.

Jangan gedung dibangunkan, tetapi kemanusiaan diruntuhkan. Tanpa nilai moral, prinsip keadilan dan dimensi manusiawi, pembangunan akan hanya memupuk kekayaan tetapi manusia dan kemanusiaan itu sendiri akan rebah.

Maka, untuk mengupayakan dimensi manusiawi dalam pembangunan, pentadbiran patik akan melipatgandakan usaha untuk merancakkan kegiatan kebudayaan yang meliputi seni lukis, teater, filem dan karya – karya sastera.

Selangor adalah sebuah negeri yang kaya dengan kebudayaan, rakyatnya berbilang kaum dan agama. Kepelbagaian agama bukan bertujuan untuk menimbulkan konflik atau prasangka tetapi kepelbagaian itulah dijadikan satu kekuatan.

Justeru itu, pentadbiran patik akan menjamin keharmonian rakyat Tuanku dipelihara supaya tidak berlaku kekacauan dan konflik dalam masyarakat yang rencam.

Sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor, patik bersyukur dapat bernaung di bawah payung kebesaran Tuanku dan patik bertekad untuk memelihara kelangsungan dan kesuburan budaya Melayu dengan segala kepelbagaiannya.

Ada yang keliru dan tersilap pandang melihat budaya Melayu itu bersifat monolitik atau satu jalur sahaja. Pada hakikatnya, budaya Melayu itu adalah satu rumpun besar yang perdunya terdiri daripada Banjar, Bugis, Jawa, Minangkabau dan lain -lain.

Setiap perdu ini menyumbang ke arah kekayaan dan kesegaran bangsa. Dan berlaku pertembungan kreatif, pinjam ‐ meminjam dan pulang‐ memulang budaya antara satu sama lain.

Misalnya, menurut Tuhfat al‐Nafis, pahlawan Melayu terulung, Hang Tuah berasal dari kerajaan Bugis Guwa yang dikirimkan kepada Kerajaan Melayu Melaka.

Dalam abad -abad setelah kejatuhan kerajaan Melayu Melaka sehingga kepada penguasaan penjajahan Barat, masyarakat Bugis mempunyai pengaruh kekuasaan senusantara yang memberi sumbangan besar terhadap tradisi pemerintahan dan politik kenegaraan Melayu.

Bahkan juga, tradisi Bugis menanam benih-benih demokrasi ‐ atau istilah Bugisnya, Amaradekangeng, di rantau ini seperti yang terungkap dalam sastera Bugis yang berbunyi:

Rusa taro ade, tenrusa taro anang.
Rusa taro anang, tenrusa taro tomanega.
Batal ketetapan adat, tidak batal ketetapan kaum.
Batal ketetapan kaum, tidak batal ketetapan orang banyak.

Berilhamkan falsafah Amaradekangeng, pentadbiran patik turut menyantuni pembangkang kerana mereka adalah sebahagian dari demokrasi.

Maksud patik hanya semata-mata untuk memajukan demokrasi dan agar pembangkang turut berkhidmat menjaga kepentingan rakyat Tuanku.

Tradisi keilmuan masyarakat Bugis juga mempunyai pengaruh besar terhadap tradisi keilmuan Melayu, seperti yang ditampilkan oleh Tuhfat al‐ Nafis, satu teks yang amat penting dalam pensejarahan dan kebudayaan Melayu-Bugis yang ditulis oleh Almarhum Raja Ali Haji, pendita agung Melayu berketurunan Bugis di abad ke 19.

Bahkan, hari ini, dunia baru sahaja menemukan kembali epik bangsa Bugis yang bernama I La Galigo, karya yang dikatakan lebih panjang dari Mahabharata, yang sejak tahun 2004 dipersembahkan sebagai muzikal di Amerika Syarikat, Eropah, Australia dan Singapura.

Di bawah naungan Tuanku, kepelbagaian budaya Melayu bersekutu dengan kosmopolitanisme Negeri Selangor akan disuburkan sesuai dengan cogan kata Malaysia: Bersekutu Bertambah Mutu.

Akhirulkalam, demikianlah sembah ucapan taat setia patik bersempena menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke 69, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Patik dan sekalian rakyat memohon ke hadrat Allah SWT, apalah kiranya, keredhaan dan pemeliharaan, hidayah dan taufik Mu Ya Allah, kepada Duli Yang Maha Mulia Raja kami yang dikasihi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Lanjutkanlah usia Baginda, dalam sihat walafiat, dalam iman dan taqwa, memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan, dengan adil dan saksama, semoga berkat di dunia dan di akhirat.

Demikian jua Ya Allah, kami pohon keselamatan dan kesejahteraan, kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Seterusnya, kepada Yang Amat Mulia Puteri – Puteri Baginda Al – Sultan, adinda – adinda, waris– waris dan kerabat – kerabat Di Raja sekalian.

Dari tanjung kapal ke laut, Kuala dan lembah patik jejaki; Tuanku menitah patik menurut, Kasih dan adil melata negeri.

Wakili rakyat sekian kaumnya,
Merafak putera payung mahkota;
Panjang umur bahagia hendakNya,
Berdoalah patik di akhir kata.

Ampun Tuanku,

Wassalamualaikum Warahmatulahi Wabarakatuh

Leave a Reply

Your email address will not be published.